Malaysia Dateline

Bakul Rahmah jelajah Dun Pengkalan Kundor

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh yang sedang berlarutan tatkala ini memberi kesan negatif yang amat besar kepada rakyat khususnya golongan marhaen dan asnaf.

Sejajar dengan itu AMANAH Negeri Kedah serta Adun Pengkalan Kundor, Datuk Dr Ismail Salleh segera turun padang menyantuni keluarga-keluarga yang terkesan teruk dengan pandemik Covid-19 di beberapa buah kampung terlibat semalam.

“Sebanyak 30 keluarga telah menerima sumbangan berupakan pelbagai barangan keperluan asas bagi meringankan beban penduduk terlibat di beberapa buah kampung melalui sumbangan ‘bakul rahmah’.

“Sumbangan diberikan termasuklah merangkumi kawasan penduduk Taman Sri Bagan, Kampung Teluk Bagan, Taman Bersatu, Kampung Sematang Tepi Laut, Taman Restu dan Kampung Tebengau.

“Adalah diharapkan dengan sumbangan bakul rahmah tersebut ia dapat meringankan beban yang terpaksa ditanggung oleh keluarga terbabit,” tegas beliau yang juga merupakan bekas Exco kerajaan negeri Kedah.

Tambahnya, kesempatan juga diambil secara serampang dua mata dengan membantu melakukan pendaftaran vaksinasi kepada keluarga terbabit di mana terdapat sebahagian kecil yang belum lagi mendaftar.