Malaysia Dateline

Bala Ahmad Zahid bertimpa-timpa

1. Berita Ahmad Zahid Hamidi hilang kepercayaan 25 daripada 41 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) menambahkan lagi bala yang menimpa Presiden Umno itu.

2. Dalam perkembangan terbaru, Ahli Parlimen Padang Rengas, Mohamed Nazri Abdul Aziz dilaporkan berkata, 25 orang Ahli Parlimen BN itu tidak yakin lagi dengan ketelusan Ahmad Zahid Hamidi sebagai wakil mereka untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong.

3. Ini adalah kerana mereka kecewa dengan tindakan Zahid mengemukakan surat sokongan Ahli Parlimen Umno kepada Anwar sebagai Perdana Menteri sewaktu menghadap Yang di-Pertuan Agong pada September lalu.

4. Menurut Mohamed Nazri, 25 orang Ahli Parlimen itu telah menandatangani surat akuan bersumpah (SD) memberi mandat kepada seorang pemimpin Umno lain untuk mewakili mereka menghadap Yang di-Pertuan Agong. Soalnya apa pendirian mereka dan siapa calon mereka – Anwar, Mahiaddin Md Yasin atau mereka ada “orang ketiga”?

5. Jika sahih kenyataan Mohamed Nazri itu maka semakin berpecah-belahlah Umno. Perpecahan di kalangan Ahli Parlimennya menjadi semakin teruk dan berlapis-lapis. Kalau dulu ada kluster Menteri, kluster mahkamah dan kluster bebas, sekarang muncul pula kluster yang hilang keyakinan terhadap Presiden.

6. Dengan perkembangan terbaru ini, semakin sukarlah bagi Ahmad Zahid menyelamatkan diri dan mengekalkan kebergunaannya dalam peraturan politik nasional.

7. Ke manakah dia hendak membawa diri kalau sebahagian besar Umno sendiri menolaknya? Dia tidak berapa berguna lagi kepada Anwar yang mahu menjadi Perdana Menteri dan kepada Mahiaddin yang mahu kekal Perdana Menteri.

8. Pada masa yang sama, banyak juga Ahli Dewan Rakyat yang tidak mahu Anwar naik menjadi Perdana Menteri tetapi mahu Mahiaddin dinyahkan daripada kerusi Perdana Menteri.

9. Jadi siapakah pilihan mereka, khususnya Geng 25 Umno/BN itu. Adakah orang yang mereka lantik untuk menjadi jurucakap mereka itu adalah juga orang mereka cadangkan sebagai calon Perdana Menteri? Mohamed Nazri menafikan hal itu tetapi mengaku bahawa wakil mereka adalah Ahli Parlimen Semberong, Hishammuddin Hussein.

10. Jadi kalau tujuan G25 bukan untuk melantik Anwar menjadi Perdana Menteri dan bukan juga untuk menjatuhkan Mahiaddin atau mengemukakan calon alternatif, maka gerakan mereka adalah ditujukan semata-mata kepada Ahmad Zahid.

Terima kasih.


Tulisan asal disiarkan dalam Facebook penulis.