Malaysia Dateline

Balak di Pahang: Khalid mohon nama baik Yang di-Pertuan Agong dibersihkan

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad menegur tindakan pihak-pihak tidak bertanggungjawab yang cuba memburukkan nama Yang di-Pertuan Agong dengan mengaitkan institusi diraja Pahang dengan aktiviti pembalakan susulan banjir yang melanda negeri itu baru-baru ini.

Lebih parah, tular sebuah video yang menyaksikan seorang lelaki yang didakwa sebagai ‘usahawan’ cuba mempertahankan tindakannya meneruskan aktiviti balak dengan mendakwa dia seolah-olah mendapat perlindungan dari pihak istana.

Justeru, Khalid memohon agar pihak istana dapat membersihkan nama baik baginda Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dengan membuat penjelasan tentang dakwaan pembalakan yang ditimbulkan oleh pihak-pihak tersebut.

“Patik dengan suci hati memohon agar tuanku membersihkan nama baik tuanku dengan membuat penjelasan serta menjauhkan diri tuanku dari pihak yang menggunakan nama tuanku untuk kepentingan diri mereka sendiri.

“Patik memohon agar tuanku turut mengarahkan tindakan dikenakan ke atas mereka yang membalak atas nama tuanku dan segala kegiatan pembalakan yang memusnahkan alam sekitar dihentikan segera.

“Satu kaedah pembalakan yang lestari dan tidak merosakkan alam sekitar perlu dikuatkuasakan seterusnya,” cadangnya dalam satu kenyataan terbaru hari ini.

Ekoran dari banjir yang melanda Pahang, banyak khabar angin tersebar yang melibatkan nama baik Yang di-Pertuan Agong dan kerabat Diraja Pahang berhubung dengan pembalakan di negeri itu.

Bahkan tular video di mana seorang lelaki dengan bangga mendakwa dia akan mengadu kepada baginda Al Sultan mengenai bantahan seorang puan seri terhadap kegiatan pembalakan yang dilakukannya di Pahang.

Khalid berkata, individu berkenaan seolah-olah mendakwa mendapat perlindungan istana dan ‘setakat Tan Sri atau Datuk Sri, semuanya kecil’ dan tidak dikhuatirinya kerana dia bersama istana.

Mengulas lanjut Khalid berkata, beliau meyakini bahawa baginda Al Sultan tiada kaitan dengan dakwaan yang tersebar kini, sebaliknya, nama baginda serta Istana Pahang telah dipergunakan untuk kerja-kerja tidak amanah.

“Nama baik baginda dirosakkan oleh pihak tidak bertanggungjawab dan berkepentingan yang menggondolkan bukit bukau negeri Pahang secara rakus dan tanpa berperikemanusiaan.

“Patik yakin tuanku mengambil berat kesengsaraan rakyat Pahang akibat kegiatan terkutuk ini sekiranya diteruskan. Oleh itu tuanku wajar bersuara dan menghentikan kedurjanaan ini dari berterusan,” mohonnya lagi.