Malaysia Dateline

Balak habis ditebang dalam hutan simpan: Bolehkah menteri lebih telus?

Kenyataan YB Menteri Tenaga dan Sumber Asli semalam bahawa ‘setakat ini tiada negeri dilaporkan melangkaui Catuan Tebangan Tahunan (CTT) yang ditetapkan kerajaan dan mengeluarkan lesen baharu bagi projek ladang hutan’ – lebih berupa kenyataan seorang ‘loyar’ berbanding seorang menteri.

Tiada negeri membalak melangkaui catuan tebangan – Menteri

Gambaran yang diberikan sangat terhad dan picisan.

Ibarat hanya melukis ekor gajah tetapi memberitahu orang itulah gajah. Atau memberi gambaran telah membaca sepuluh buah buku walau pun sebenarnya baru membaca sehelai buku.

Persetujuan mengenai Moratorium Kelulusan Baharu Penubuhan Ladang Hutan (dalam Hutan Simpan Kekal (HSK) baru saja dipersetujui dalam Mesyuarat Majlis Tanah Negara Ke-79 (MTN Ke-79) yang bersidang pada 2 Disember 2021.

Kenyataan media oleh Kementerian Tenaga dan Sumber Asli mengenainya pula dikeluarkan pada 10 Disember 2021.

Bermakna, sehingga hari ini, 7 Mei 2022, tempoh masa Moratarium ini baru berusia 5 bulan 2 hari. Takkan dalam tempoh ini dah ada negeri langgar had yg ditetapkan?

Baru 5 bulan. Bercakap mengenai tiada kelulusan baru dalam masa 5 bulan macam sudah 4 tahun tidak langgar persetujuan.

Fakta mengenai Moratorium ini baru saja dikemukakan tidak pula dinyatakan oleh beliau.

Balak habis ditebang dalam hutan simpan: Bolehkah menteri lebih telus?
Balak di dalam hutan simpan turut ditebang

Fakta yang juga tidak diberitahu ialah keluasan Hutan Simpan Kekal (HSK) di seluruh Semenanjung yang telah diluluskan sebagai zon Ladang Hutan tetapi belum dilesenkan oleh Negeri-Negeri ialah 127,050 hektar.

127,050.25 hektar masih berbaki ini menunggu masa untuk dilicinkan seperti padang jarak padang tekukur atas nama membangunkan ladang hutan, kerana ia telah diluluskan sebagai Zon Ladang Hutan dalam Hutan Simpan Kekal.

Angka ini dinyatakan sendiri oleh PM dalam kenyataannya bertarikh 3 Disember 2021; ‚ÄúDalam hal ini, MTN ke-79 juga mengambil perhatian bahawa terdapat 127,050 hektar Zon Pembangunan Ladang Hutan dalam HSK yang belum diluluskan kepada mana-mana syarikat”.

Moratorium kelulusan baharu tubuh ladang hutan HSK

Logiknya, jika kawasan HSK yang sudah siap untuk dilesenkan seluas 127,050 hektar lagi, apa perlunya pelanggaran dilakukan dengan mengeluarkan lesen baru di luar kuota?

Ibarat anak yang dimarahi bapanya menghisap rokok, berbangga pada bapanya sudah tidak beli rokok baru selama sebulan. Padahal simpanan rokok lama masih berguni-guni. Rokok masih hisap, cuma tidak beli kerana stok lama masih ada.

  1. Isu yang lebih besar ialah keluasan yang melampau terhadap kegiatan tebang habis HSK sehingga status sebenar hutan simpan ibarat rangka tanpa daging dan isi.

Layakkah ia dipanggil HSK sedangkan semua khazanah hutan yang sebenar telah lesap? Berapakah keluasan kuota tebang habis HSK untuk ladang mengikut negeri?

Berapakah keluasan sebenar HSK yang telah ditebang habis dari quota tersebut? YB Menteri seharusnya menyertakan sekali fakta ini barulah gambaran sebenar dapat dilihat.

Saya menarik perhatian pada kenyataan media oleh Sahabat Alam bertarikh 13 Disember 2021 bertajuk “Mansuhkan penubuhan ladang hutan (ladang monokultur) dalam hutan simpanan kekal di Semenanjung Malaysia’.

Antara lain kenyataan itu menyebut : ‘Walaubagaimanapun moratorium ini adalah tidak mencukupi dan SAM mencadangkan supaya dasar berhubung penggalakan penubuhan dan pembangunan ladang monokultur dalam HSK perlu dimansuh sama sekali dan tidak dilaksana lagi.

Pembangunan ladang monokultur dalam HSK memusnahkan litupan hutan asal (hutan asli) melalui kaedah pengusahasilan secara tebang habis. Pengusahasilan secara tebang habis pula tidak tertakluk kepada Catuan Tebangan Tahunan (CTT)”.

Malah konsep ladang itu sebenarnya bercanggah dengan konsep hutan dari segi bahasa dan terminologi”.

Apa sebenarnya sikap dan pendirian YB Menteri dalam isu ini? Sukakan HSK ditebang habis atas nama buat ladang hutan?

Kasihkan khazanah hutan dengan mengkaji semula amalan yang sangat merugikan negara itu?

Apa pendirian anda?

Bolehkah dinyatakan secara terbuka kepada rakyat negara ini?

Saya perturunkan sebahagian kerosakan dari amalan ini.

Amalan ini telah menjadi jalan singkat manipulasi bertujuan mengaut kekayaan segera atas kemusnahan alam.
Antaranya adalah kelulusan yg bercanggah dengan SOP yg ditetapkan oleh Kementerian sendiri melalui Pekeliling Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia Bil 1 Tahun 2010 dan Garis Panduan Penubuhan Ladang Hutan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia.

Seperti tiada pembalakan melebihi 1,000 meter atau 3,000 kaki, perladangan getah hanya untuk kawasan tidak melebihi 600 meter, hutan yang hendak diluluskan mestilah hutan yang sudah diteroka atau isi hutannya miskin (juga sangat relatif sehingga memungkinkan manipulasi) dan tidak melibatkan kawasan tadahan air.

Belum mengambil kira isu operasi tanpa kelulusan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (Laporan EIA) terlebih dahulu, helah dan tipu daya mengelakkan keperluan kelulusan Jabatan Alam Sekitar melalui kelulusan kawasan yg lebih kecil setiap satu. Bila kesemua kelulusan kepada orang atau syarikat yang sama dijumlahkan, ia merupakan kelulusan keluasan yg besar.

Pelanggaran lain seperti pembangunan ladang hutan dalam HSK di kawasan berkecerunan melebihi 25 darjah atau lebih curam lagi. Memusnahkan kawasan rizab sungai / zon riparian, tidak menghiraukan kemusnahan habitat hidupan. liar, bah kan kesejahteraan manusia khususnya masyarakat Orang Asli.

Semua pelanggaran ini dilakukan tanpa mana-mana pihak menguatkuasakan undang-undang dan peraturan.

YB Menteri berkenaan tentunya sedar amalan-amalan ini berlaku dengan berleluasa.

Jika beliau tidak sedar, beliau telah cuai dalam tugas dan tanggungjawabnya menjaga khazanah hutan negara kita.

Saya akan kemukakan sebahagian bukti dari amalan-amalan buruk ini pada sidang media saya InsyaAllah dua tiga hari akan datang.

Saya berharap YB Menteri berkenaan dapat menyemak apa yang saya bangkitkan nanti.

Upaya saya hanya atas kapasiti rakyat biasa yg tidak mempunyai apa-apa kemudahan dan laluan info.
Inisiatif kerdil seorang rakyat demi sayangkan khazanah negara kita dari musnah untuk selama-lamanya kerana ketamakan melampau satu dua pihak dan kelalaian yang disengajakan oleh pihak-pihak yang lain.

Apa pendirian YB Menteri tentang hal-hal yang berbangkit dari pembalakan tebang habis untuk pembangunan ladang sejumlah yang terlalu besar dan terus berjalan ini?