Malaysia Dateline

Balak: Sanusi turuti jejak Najib, tersepit kerana banyak portfolio

Kenyataan awal Menteri Besar Kedah yang baharu Mohamad Sanusi Md Nor tentang pembalakan di negeri itu telah menyebabkan beliau dipermainkan apatah lagi selepas beliau memegang tujuh portfolio utama selain menteri besar.

Antara yang menyerang beliau adalah Kelab Penyokong Chedet, yang dikatakan mempunyai kaitan rapat dengan bekas Menteri Besar yang diketepikan beliau, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Tun Dr Mahathir sendiri.

Dengan tajuk “Balak kembali ke Kedah”, Sanusi di permainkan sebagaimana Presiden AMANAH, Mohamad Sabu mempermainkan Datuk Seri Najib Razak apabila beliau memegang pelbagai jawatan termasuk Menteri Kewangan ketika menjadi Perdana Menteri dahulu.

“EXCO Hasil Bumi & Sumber Asli (YB En Sanusi) akan memohon kelulusan dari EXCO unit perancang negeri (Yb En Sanusi )

“EXCO Unit Perancang Negeri (Yb En Sanusi) akan memohon kelulusan EXCO Kewangan (Yb En Sanusi) untuk projek BALAK.

“EXCO Kewangan(Yb En Sanusi) memohon pada Menteri Besar(Yb En Sanusi) meluluskannya.

“Menteri Besar YAB En Sanusi akan meluluskan balak yang di usulkan EXCO Kewangan(Yb En Sanusi) yang diusulkan dari EXCO Unit Perancang Negeri(Yb En Sanusi) yang di usulkan Oleh EXCO Hasil Bumi dan Sumber Asli(Yb En Sanusi),” tulis posting dalm facebook Kelab Penyokong Chedet itu.

Menurut posting itu, “Mentor Menteri Besar Kedah Yb Sanusi ialah Yb Najib Razak.. Formula yang sama,”

Selepas seminggu mengambilalih pentadbiran negeri Kedah, Menteri Besar baharu, Muhammad Sanusi Md Nor mengumumkan untuk mempertimbangkan bagi membuka semula konsesi balak yang pernah dibatalkan Pakatan Harapan (PH).

Memetik laporan portal Berita Harian Online, ia untuk mengelakkan kerajaan negeri dari membayar tuntutan hampir RM1 bilion yang dikemukakan oleh 40 buah syarikat pembalakan sebelum ini.

Difahamkan, syarikat terbabit sebelum ini dibatalkan konsesi mereka berikutan keputusan kerajaan negeri pimpinan PH yang mewartakan Ulu Muda sebagai hutan simpan dan kawasan tadahan air.

“Tuntutan itu agak besar, jadi kalau boleh diganti tempat (kawasan pembalakan) yang tidak menjejaskan alam sekitar dan tidak mendatangkan kerosakan kepada orang ramai, kita akan ganti.

“Mereka sudah bayar premium, jadi tak adil untuk mereka. Saya tidak boleh lari daripada keputusan (pembatalan konsesi) kerajaan yang sudah ada ikatan undang-undang, namun perkara ini boleh diselesaikan,” katanya ketika ditemui di Wisma Darul Aman.