Malaysia Dateline

Balik dari Sabah, staf pejabat MP Lembah Pantai sah positif Covid-19

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil mengesahkan salah seorang kakitangan pejabatnya yang baru pulang dari Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah positif Covid-19.

Menerusi hantaran Facebooknya hari ini, Pengarah Komunikasi PKR itu memaklumkan beliau bersama kesemua kakitangannya yang lain juga telah menjalani ujian saringan Covid-19 di Klinik Kesihatan Tanglin.

Kakitangan beliau yang disahkan positif jangkitan itu juga telah dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan dan isolasi.

“Memandangkan staf tersebut merupakan kontak rapat kami, pagi ini saya dan semua staf pejabat telah hadir ke Klinik Kesihatan Tanglin untuk membuat saringan Covid-19.

“Kami akan menjalani kuarantin di rumah mengikut tempoh yang diarah PKD (Pusat Kesihatan Daerah) Lembah Pantai.

“Pejabat saya akan ditutup sehingga tempoh arahan kuarantin di rumah selesai. Unit dekontaminasi juga akan dihantar untuk proses dekontaminasi pejabat petang ini,” jelasnya lagi.

Dalam masa sama, Fahmi memberitahu kali terakhir beliau ke Sabah pada 5 dan 6 September lalu dan kali terakhir bertemu dengan staf pejabat positif Covid-19 itu adalah pada 21 September lalu.

Sehubungan itu, beliau memberitahu penduduk Lembah Pantai yang ingin berurusan dengan Pejabat Ahli Parlimen Lembah Pantai boleh berhubung melalui laman Facebook Fahmi Fadzil atau emel [email protected]

Untuk rekod, terdapat 63 kes positif Covid-19 mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah sejak 20 September lalu sehingga semalam.

Untuk semalam sahaja, sebanyak 17 kes melibatkan individu yang pulang dari Sabah yang dikategorikan sebagai “kawasan berisiko tinggi”.

Paling banyak di Selangor dengan sembilan kes diikuti satu kes masing-masing di Kuala Lumpur, Kelantan, Kedah, Melaka, Perak, Pulau Pinang, Perlis dan Putrajaya.