Malaysia Dateline

Balik “grand coalition” pembangkang, hati-hati mainan Umno

Usaha merebut kembali kuasa yang dicuri — sehingga terdirinya kerajaan pintu belakang dan menafikan mandat rakyat — sememangnya perlu diteruskan.

Terbukti ia terpaksa menempuh jalan sukar penuh berliku. Permainan elit politik sarat dengan seribu satu kepentingan yang menjadikan undi rakyat hanya komoditi berharga untuk diperdagangkan.

Sementara parti-parti pembangkang gagal mempamerkan kesatuan, Pakatan Harapan pula dilihat dilanda masalah kepemimpinan berikutan proses pengundian Belanjawan 2021 tempoh hari.

Melihat pola pengundian belah bahagian peringkat kementerian tertentu, masih belum kelihatan sokongan yang dijanjikan oleh ahli-ahli Parlimen daripada Umno. Biarpun kerajaan tebuk atap Perikatan Nasional digegarkan oleh konflik dalaman, namun ia semacam terus berpadu untuk berdepan Pakatan Harapan.

Situasi mutakhir di Perak seperti memberi sinar kepada perkembangan demokrasi yang terbantut sejak awal tahun. Keabsahan menteri besar diuji dengan undi percaya. Dan keputusannya mengejutkan; pembawa usul sendiri (Umno) tidak menyokong, dengan hanya sepuluh Adun bersama menteri besar.

Ini bermakna Umno Perak telah menunjuk jalan “pembelotan” dan berani menyanggah Timbalan Presiden Bersatu itu. Namun lebih banyak pihak yang memuji keterbukaan Speaker Dewan Undangan Perak yang membenarkan usul percaya itu dibahaskan. Sekali gus menarik perhatian ke atas sikap berbeda yang ditunjukkan Speaker Dewan Rakyat ke atas usul tidak percaya kepada perdana menteri yang dikemukakan oleh lebih 25 ahli Parlimen.

Speaker Dewan Rakyat memulangkan usul tentang legitimasi perdana menteri Muhyiddin Yassin itu kepada budi bicara Menteri Undang-Undang, yang pastinya akan menutup ruang yang membolehkan ketuanya tersingkir. Sedangkan apa jua rang undang-undang adalah kecil dan remeh jika mahu dibandingkan dengan status keabsahan sesebuah kerajaan.

Di waktu yang sama, penganalisis politik melihat jaminan penyokong kerajaan, khususnya daripada fraksi Umno, untuk menukar kerajaan sebagai “boleh diragui”. Kata orang, “dengar boleh percaya jangan!” Umno seperti belum ambil iktibar daripada kekalahannya pada Mei 2018. Ia pun hanya terpisah daripada kuasa selama 22 bulan sahaja; sukar untuk serik.

Diakui Umno terbahagi kepada beberaoa fraksi, dan menganggap kedudukannya dalam kerajaan persekutuan tidak seimbang, malah seperti dibuli Bersatu, tetapi semuanya berfikir dalam kerangka besar, untuk kembali mendominasi pentadbiran kerajaan nanti.

Selama lebih 60 tahun Umno selesa menerajui kerajaan secara mutlak, tentu sahaja ia rimas apabila terpaksa berkongsi kuasa dengan sekutu yang lebih menguasai. Tambahan pula Bersatu telah “mencuri” 15 ahli Parlimennya dan memegang hampir semua potfolio kanan. Ini menyukarkan Umno untuk kembali ke podium parti Melayu paling berkuasa dalam PRU15 nanti.

Dalam konteks pembangkang, tidak kurang pemerhati yang berpesan, agar diberikan tumpuan yang seimbang ke arah memperkukuh kesatuan oposisi, daripada mengharapkan sangat janji atau jaminan Umno.

“Mungkin Anwar Ibrahim dan penasihat politiknya mempunyai hubungan silam yang rapat dengan Presiden Umno sekarang, Zahid Hamidi, tetapi kita bimbang Zahid hanya mahu jadikan Anwar sebagai umpan untuk tarik tali dengan Muhyiddin,” kata seorang pemerhati.

“Saya masih rasakan keperluan grand coalition seperti PRU14 dulu, termasuk daripada grup Tun Mahathir, iaitu Pejuang dan Warisan. Memang ramai kecewa dengan Mahathir dan anggap zamannya telah berlalu, tapi bagaimana pula dengan Umno, bolehkah parti itu dipercayai, apatah lagi dengan kluster mahkamahnya?” tambahnya lagi.

Secara menyeluruh, koalisi pembangkang dilihat agak lemah dalam kontituensi Melayu. Umumnya terdapat empat parti Melayu yang berpengaruh, iaitu Umno, Pas, Bersatu dan AMANAH.
Mampukan AMANAH melonjak je garis depan sebagai parti Islam kontemporari, inklusif dan progresif, serta menjunjung tinggi integriti?

Keadaan serba tidak menentu. Begitulah lazimnya real politik, tiada jalan mati, semuanya serba mungkin, penuh dinamisme. Namun rakyat tetap tekun memerhati dan bersedia menilai apabila diperlukan. Apa pun strategi yang bakal dipilih, kebijaksanaan pengundi usah diremehkan.

Prioriti sekarang: Pembangkang wajar memperkemas diri, memperkukuh jentera parti, mengenal pasti sahabat atau lawan, memperelok persefahaman di antara sekutu, mengelak tembak kaki sendiri, melihat dalam kerangka besar dan sedia berkorban.