Malaysia Dateline

Balu arwah Abam menang saman fitnah RM60,000 terhadap Ali Puteh, lega kes dah selesai

Balu Allahyarham Abam, Nor Hidayah Mohd Ali berjaya memenangi kes saman fitnah yang difailkannya terhadap pelawak yang juga adik iparnya, Syed Ali Puteh dua tahun lalu.

Oleh kerana gagal memenangi kes saman fitnah terbabit, Ali Puteh diperintahkan oleh mahkamah untuk membayar ganti rugi kepada Nor Hidayah sebanyak RM60,000.

“Doakan yang baik-baik untuk saya dan anak saya. Saya dah rasa lega dah,” kata Hidayah ringkas kepada media usai prosiding di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Jumaat.

Balu arwah Abam menang saman fitnah RM60,000 terhadap Ali Puteh, lega kes dah selesai

Sementara itu, kata peguam yang mewakili Nor Hidayah, Mohamed Ibrahim Mohamad, kemenangan itu sekali gus telah membersihkan nama serta reputasi keluarga Hidayah.

“Alhamdulillah mahkamah hari ini memberikan keputusan yang mana ia berpihak kepada anak guam kami. Tuntutan keluarga arwah Abam terhadap anak guam saya, Nor Hidayah telah ditolak dengan kos.

“Manakala, tuntutan kami terhadap Ali telah dibenarkan dengan kos juga, ganti rugi RM60,000 telah dipersetujui oleh mahkamah untuk dibayar kepada Hidayah.

“Kami percaya keputusan ini telah membersihkan kata-kata negatif yang dilemparkan kepada anak guam kami dan berharap selepas ini tiada lagi.

“Sebelum ini ada kenyataan dibuat seolah-olah ada pihak dianiaya oleh anak guam kami tapi hari ini mahkamah telah menjelaskan bahawa tiada berlaku sebarang penganiayaan, sebaliknya yang dianiaya adalah anak guam kami,” katanya.

Kontroversi mula tercetus apabila Nor Hidayah memfailkan saman terhadap Ali Puteh sekeluarga dengan jumlah terkumpul mencecah RM900,000.

Saman yang dibuat Nor Hidayah itu antaranya menuduh Ali mengambil harta Abam Bocey dan harta anak yatim.

Antara tuduhan lain yang difailkan terhadapnya dan keluarga adalah tuntutan faraid, tuntutan hak penjagaan anak, tuntutan kereta dan sebagainya.

Pada 27 Ogos 2020, Ali memfailkan saman terhadap Nor Hidayah dan jutawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman.

Allahyarham Abam atau nama sebenarnya Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Redzuan disahkan meninggal dunia pada 10 Februari 2020.