Malaysia Dateline

Balu bekas tentera seharusnya diberi pembelaan

Nasib para balu bekas tentera seharusnya diberi pembelaan yang sewajarnya.

Demikian disarankan oleh Yang Dipertua Persatuan Veteran Bekas Tentera Tidak Berpencen Malaysia, Bahagian Pulau Pinang, Abu Hassan Abd Malik ketika menyampaikan sumbangan kepada bekas tentera (TUDM) tidak berpencen, Ismail Abdullah, 68 tahun, di Flat Taman Bagan Jaya, Butterworth semalam.

Jelas Abu Hassan lagi, adalah disyorkan kepada kerajaan supaya nenambahkan jumlah amaun Bantuan Sara Hidup (BSH) daripada RM300 kepada RM500.

Abu Hassan Abd Malik

“Adalah dicadangkan kepada kerajaan supaya veteran darurat yang berumur 70 tahun keatas diberi sumbangan berbentuk baucer RM200 bagi mendapatkan keperluan barang asas serta dikecualikan dari cukai pintu dan bil air mengikut geran atas nama veteran sendiri.

“Ramai antara balu bekas tentera menzahirkan keluhan dengan dakwaan semasa suami mereka berjuang samada di laut, darat maupun udara, para balu tetap setia berbulan-bulan ditinggalkan dengan tanggungjawab memelihara anak samada sakit maupun pelbagai kekurangan yang dihadapi.

“Jangan lupa terdapat bekas tentera yang putus tangan dan kaki semasa bertempur maupun jerangkap samar sehingga kini masih lagi tidak mampu untuk membawa perubahan yang lebih baik dalam keluarga mereka,” ujar beliau.

Malah kata Abu Hassan lagi, adalah diharapkan pihak kerajaan, khususnya Jabatan Hal Ehwal Veteran dapat memberi perhatian serius terhadap isu bekas tentera tidak berpencen yang dianggarkan berjumlah 30 ribu yang masih belum berdaftar dengan Persatuan Veteran Tentera Tidak Berpencen Malaysia.