Malaysia Dateline

BAM gopoh buat keputusan sekat Zii Jia beraksi untuk negara

Tindakan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menyekat atlet muda berpotensi besar, Lee Zii Jia untuk beraksi mewakili negara merupakan satu keputusan gopoh dan membelakangkan merit seseorang atlet, kata Pemuda AMANAH.

Selain dilihat sebagai tindakan balas dendam, BAM sewajarnya mencari langkah menang-menang berbanding menutup peluang dan potensi pemain bertaraf antarabangsa ini, kata Timbalan Ketuanya, Razak Ridzuan.

“Pemuda Amanah berpandangan pemain sewajarnya diberikan ruang untuk menentukan laluan karier mereka dan BAM seharusnya bertindak sebagai fasilitator untuk memastikan pemain berada pada tahap yang terbaik untuk beraksi dalam kejohanan dunia seterusnya mengharumkan nama negara,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Selain melunturkan semangat dan azam pemain, tindakan BAM juga menunjukkan tahap profesionalisme mereka dalam menguruskan BAM sudah tercalar, katanya.

“Justeru, Pemuda Amanah menggesa semua pemegang taruh menyatakan pendirian dan mengambil tindakan segera bagi menjernihkan keadaan dalam memastikan sukan badminton negara terus maju,” katanya.