Ban pecah antara punca sungai Semenyih melimpah ke Bangi

Oleh BORHAN AHMAD

Punca utama kejadian banjir yang berlaku di Kampung Bangi baru-baru ini adalah dijangkakan disebabkan air limpahan daripada Sungai Semenyih, kata Adun Sungai Ramal, Mazwan Johar.

Ini ekoran kajian yang dibuat oleh pasukan beliau dengan berjalan kaki sepanjang setengah kilometer meredah lumpur sepanjang sungai yang tidak dapat dimasuki kenderaan itu.

Mazwan meninjau Sungai Semenyih setelah surut untuk menyiasat punca banjir di Kampung Bangi.

Ia dilakukan mereka setelah hujan kembali reda dan air banjir kembali surut,  di mana Mazwar Johar bersama Ketua Kampung, Tok Rasidin telah menyelusuri ban sepanjang tebing Sungai Semenyih pada hari Selasa kelmarin.

Mereka terpaksa berjalan kaki sejauh lebih setengah kilometer dalam laluan berlumpur kerana laluan lorong kenderaan berhalangan dengan himpunan lumpur tebal dan sampah hanyut.

Sepanjang berjalan dan melihat di kawasan sekitar, mereka mendapati satu bahagian ban telah runtuh dan pecah yang dipercayai punca air sungai melimpah dari Sungai Semenyih.

Air sungai yang naik tinggi dan mengalir deras dipercayai telah meruntuh dan memecahkan ban tersebut dan masuk menceroboh hingga membanjiri Kampung Bangi.

Jadi, mereka khuatir jika hujan lebat kembali turun, ianya akan menyebabkan air sungai akan naik dan menerobos membanjiri kampung melalui bahagian ban yang runtuh itu.

Mazwan berpendapat perkara ini tidak boleh dilengahkan dan ban ini wajib dibaiki dengan kadar segera bagi mengelakkan masalah yang lebih besar.

Setelah berbincang di tapak ban, Mazwan bersetuju untuk menggunakan peruntukan beliau bagi membiayai kerja-kerja membaiki ban tersebut dengan kadar segera.

Walaupun jarak untuk menyelusuri kawasan ban ini tidaklah terlalu jauh dan jalan kaki anggaran sejauh 500 meter sahaja, tetapi pasukan Mazwan Johar perlu berjalan dalam keadaan tanah yang berselut tebal dan belukar serta terpaksa melintas pagar kawad berduri.

Menurut En. Siva yang turut bersama Mazwan, perjalanan untuk ke ban pecah itu “menyamai menggunakan tenaga seperti memanjat bukit broga”.