Malaysia Dateline

Banduan berjaya sambung pengajian ibarat ‘wira tidak didendang’, kata Hanipa Maidin

Banduan yang mengikuti pengajian di peringkat tertinggi dan berjaya menamatkannya ketika berada di sebalik tembok besi disifatkan sebagai ‘wira tidak didendang’, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mohamed Hanipa Maidin.

Beliau berkata pencapaian mereka dalam bidang akademik seharusnya menjadi contoh kepada masyarakat kerana berada di sebalik tembok besi dan status sebagai banduan bukan halangan untuk mencapai kejayaan.

Berikutan itu, katanya bagi menyampaikan mesej dan kesedaran kepada masyarakat mengenai kejayaan wira yang tidak didendang itu, pihaknya merancang untuk menerbitkan sebuah buku bertajuk ‘Unsung Heroes’.

“Buku ini bukan sahaja memberi fokus kepada pencapaian positif banduan, malah semua individu yang berjaya dalam profesion masing-masing yang menyumbangkan sesuatu yang positif kepada masyarakat.

“Bagaimanapun, saya akan usulkan kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad terlebih dahulu. Saya akan memberi penerangan yang lebih lanjut mengenai penerbitan naskah ini dan beranggapan perdana menteri tidak keberatan (berhubung cadangan itu),” katanya pada sidang media selepas menyerahkan plak penghargaan kepada dua banduan yang sedang mengikuti pengajian pasca siswazah Universiti Sains Malaysia (USM) di Penjara Seberang Perai, di sini hari ini.

Pada majlis itu, Mohamed Hanipa menyerahkan plak penghargaan kepada Jep, 37, dan Ken, 35, yang kini sedang mengikuti pengajian pasca siswazah USM masing-masing dalam jurusan Sarjana Sains Kemasyarakatan (Kriminologi) dan Sarjana Sastera (Pengurusan).

Mereka sebelum ini bersama-sama menamatkan pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda ketika menjalani hukuman di Penjara Kajang.

Mohamed Hanipa turut menyeru lebih ramai banduan yang sedang menghabiskan masa tahanan untuk tempoh yang lama agar memanfaatkan peluang yang ada dengan meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang boleh digunakan selepas bebas kelak.

Sementara itu, Jep yang bakal dibebaskan pada Mac ini berkata walaupun berdepan kekangan sumber rujukan dan penggunaan internet, ia tidak mematahkan semangatnya untuk melengkapkan tesisnya yang bertajuk ‘Peranan Program Pengajian Tinggi Terhadap Pemulihan Banduan (Dari Perspektif Banduan).

“Bagi saya sokongan keluarga amat penting untuk bekas banduan memulakan kehidupan setelah terpenjara di balik tirai besi sejak sekian lama. Saya amat bersyukur memiliki keluarga yang begitu menyokong termasuk tunang saya yang sedang menunggu saya sejak lapan tahun lepas,” katanya yang menjalani hukuman di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan sejak tahun 2012.

Bagi Ken pula, peluang melanjutkan pelajaran ketika berada di penjara seolah-olah memberi sinar baharu kepadanya malah dia tidak sabar untuk menyumbang bakti kepada masyarakat dan berhasrat menyertai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) apabila dibebaskan pada 2021.

“Semasa masuk ke sini memang sedih, tapi disebabkan pihak penjara banyak memberi semangat dan dorongan untuk melanjutkan pelajaran ia seolah-olah memberi sinar baharu kepada saya. Apa yang dipelajari di sebalik tirai besi akan saya guna di dunia luar untuk sama-sama bersaing secara sihat,” katanya yang menjalani hukuman di bawah Seksyen 304 Kanun Keseksaan sejak 2011.– BERNAMA