Tun Dr Mahathir Mohamad membayangkan Datuk Seri Najib Tun Razak bakal bertanding dalam PRU15 nanti berikutan kes mahkamah yang sedang dihadapinya seperti tidak nampak di mana penghujungnya.
Ahli Parlimen Langkawi itu juga berkata, kini Mahkamah Rayuan mendengar rayuan Najib tetapi keputusan ditangguh dan ianya berlarutan selama enam bukan namun belum buat sebarang keputusan.
“Najib Razak telah dihukum penjara dan denda kerana kesalahan ‘money laundering’.
“Kononnya kerana dia membuat rayuan hukuman tidak dilaksana.
“Tarikh kes rayuan ialah pada April 2021. Sepanjang masa dia bebas seperti orang yang tidak salah. Kes tidak didengar kerana bermacam alasan.
“Dia boleh hadir ke Dewan walaupun tidak dapat ke mahkamah. Adakala kononnya sakit.
“Mahkamah Rayuan mendengar rayuan Najib. Tetapi keputusan ditangguh. Sudah enam bulan berlalu. Mahkamah belum buat keputusan,” kata Mahathir di status Facebooknya hari ini.
Kini katanya, ‘banduan’ ini telah dibenar ke Singapura, malangnya Peguam Negara tidak membantah.
Dalam masa yang sama katanya, tarikh kebenaran Najib ke Singapura telah diubah dan diluluskan mahkamah kerana dia dilantik sebagai pengurus pilihan raya Melaka.
Mahathir turut mempersoalkan bilakah Najib akan mendapat keputusan Mahkamah Rayuan dan membayangkan jika Najib tidak bersalah dia akan merayu di Mahkamah Persekutuan pula.
“Ini juga akan ambil masa. PRU ke-15 pun sudah tiba. Najib belum disah oleh Mahkamah Persekutuan yang dia bersalah.
“Tentu boleh bertanding dalam PRU-15.
“Rakyat tentu berbangga. Curi 10 ringgit masuk penjara serta merta.
“Curi satu billion-ringgit boleh lepas dari penjara,” katanya.
Mahathir percaya amalan ini akan mengundang ramai penyangak dan perasuah bebas menjelajah seluruh dunia sementara hukuman ditangguh atau pertuduhan dibatal.
“Sekali lagi dunia kagum melihat Malaysia, contoh demokrasi yang liberal di mana yang menang kalah, yang kalah menang, yang curi sedikit dipenjara, yang curi bertimbun bebas.
“Syabas Malaysia,” katanya.