Malaysia Dateline

Banduan jahit PPE bantu melawan Covid-19

Sebanyak 12 penjara di seluruh negara terbabit menghasilkan peralatan perlindungan diri (PPE) untuk kegunaan petugas kesihatan semasa mengendalikan pesakit COVID-19.

Menurut Bernama, Timbalan Menteri Dalam Negeri I, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said berkata semua bengkel jahit penjara yang terlibat juga memberi keutamaan kepada pembuatan PPE memandangkan keperluannya yang mendesak sekarang ini.

“Tindakan ini sebagai inisiatif Jabatan Penjara untuk membantu meringankan beban kerajaan dalam isu menangani COVID-19, selain mengurangkan risiko yang dihadapi petugas barisan depan khususnya kakitangan kesihatan.

“Kita berterima kasih kepada usaha yang ditunjukkan penghuni penjara yang bertungkus-lumus setiap hari memastikan bekalan PPE mencukupi dan proses ini juga dilakukan secara sukarela oleh penjara terlibat,” katanya.

Ismail berkata demikian kepada Bernama selepas meninjau proses menghasilkan PPE oleh Bengkel Jahit Penjara Penor di sini hari ini, yang turut dihadiri Pengarah Penjara Pahang Datuk Ab Basir Mohamad dan Pengarah Penjara Penor Datuk Abu Hasan Hussain.

Usaha yang dilakukan itu juga mendapat sokongan daripada kerajaan negeri masing-masing yang menyumbang bahan selain berperanan mengagihkan PPE yang siap ke hospital yang memerlukan.

Di PENGKALAN CHEPA, seramai 40 banduan dari Penjara Pengkalan Chepa, Kelantan berjaya menghasilkan 1,000 Peralatan Perlindungan Diri (PPE) iaitu penutup kepala (head cover) sejak 30 Mac lalu dalam tempoh sehari bagi keperluan kakitangan perubatan dalam menghadapi situasi ketika wabak Covid-19.

Pengarah Penjara Pengkalan Chepa, Penolong Kanan Komisioner Penjara Mat Yaacob berkata, PPE itu dihasilkan oleh banduan yang berkemahiran dalam bidang jahitan dengan dipantau oleh beberapa orang guru kelas jahitan penjara.

Katanya, kaedah ini digunapakai oleh banduan bagi menghasilkan PPE yang berkualiti dengan cepat serta mengelakkan pembaziran bahan asas yang semakin berkurangan.

“Kesemua banduan ini mendapat latihan khas daripada Dekan Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan dari Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Dr Hanisa Hassan.

“PPE yang dibuat ini menggunakan kaedah yang diilhamkan dan dikaji oleh Dr Hanisa bersama Pegawai Perubatan Negeri Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Negeri Kelantan, Dr Mohd Zurairie Mohd Zubir melalui kerjasama padu di antara UMK dan PBSM dalam membantu pihak hospital yang mengalami kekurangan bekalan PPE susulan daripada pertambahan bilangan pesakit Covid-19 sejak akhir-akhir ini.

“Hasil kreativiti melalui usaha ini sudah diuji oleh Jabatan Farmasi Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) dan ia terbukti setanding dengan kualiti peralatan asal yang dihasilkan di kilang,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu di MARANG, Terengganu, Penjara Terbuka Marang boleh menghasilkan 150 hingga 200 helai PPE sehari.

Mereka bukan sahaja bekerjasama dengan hospital tetapi juga terus dengan Jabatan Kesihatan Negeri dan Daerah.