Sudah jadi trend di media sosial terutama TikTok apabila mereka dengan keputusan teruk dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 seolah-olah bangga pula dengan ‘pencapaian’ gred G (Gagal) dan TH (Tak Hadir) yang diperoleh.
Entah apa yang dibuat di sekolah selama 11 tahun apabila gagal semua subjek. Itu antara keluhan orang ramai melihatkan trend sebahagian calon SPM 2021 yang tayang keputusan berderet lemah bahkan gagal.
Kumpulan pelajar bermasalah besar itu antara 0.43 peratus atau 1,655 daripada 407,097 calon yang memperoleh keputusan semua gagal dalam kohort pertama yang menggunakan format baharu Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM).
Dalam masa sama, seramai 125,454 calon pula sekurang-kurangnya gagal satu mata pelajaran manakala menimbulkan banyak pertanyaan apabila terdapat 10,681 calon langsung tidak menduduki SPM 2021.
Walaupun mereka diharap segera bangkit dan terus berusaha demi kejayaan pada masa depan tetapi sebahagiannya dilihat tidak rasa malu dengan keputusan teruk SPM mereka.
Lebih membimbangkan, apabila trend ‘gila’ itu dilihat didominasi anak-anak Melayu sekali gus menimbulkan tanda tanya mengenai masa depan bangsa Melayu sendiri yang sedang dan akan diasak dengan pelbagai bentuk cabaran dahsyat nanti.
“Bangsa lain gagal semua subjek pun mak ayah depa ada syarikat dan bisnes sendiri. Anak bangsa kita, gagal semua subjek tapi mak ayah hidup kais pagi makan pagi.
“Petang-petang ronda dengan member guna motor yang ayah beli. Apabila rosak, ayah juga yang hantar baiki. Nasib badan,” kata Umar Abdul Rahman.
Sementara itu, Nursyazana Abd Rahim pula bimbang gejala boleh buat duit dengan cara mudah akan lebih rancak walaupun tidak masuk universiti boleh kaya dan bergelar jutawan seperti pempengaruh tertentu pada masa ini.
“Lepas ni memang akan ramai anak yang tidak berminat nak masuk universiti ditambah dengan yuran mahal.
“Akibatnya, makin berkuranglah anak muda Melayu dalam bidang profesional. Situasi yang menyedihkan,” kata Nursyazana lagi.
Bagi AB Ariff, beliau berpendapat masyarakat sedang melalui era pengakhiran zaman apabila manusia tidak meletakkan sesuatu pada haknya.
“Kejayaan tidak diraikan, kegagalan itu suatu kebanggaan, kerosakan itu perkara biasa, kebaikan itu disalah sangka dan akhirnya kadang kala kita meletakkan orang yang bukan ‘hak’ sebagai pemimpin,” ujarnya.
Bukan sahaja calon SPM 2021 itu sendiri, malah terdapat juga sebilangan ibu bapa yang seolah-olah lebih pula berbangga dengan keputusan teruk anak mereka selepas 11 tahun berada di bangku sekolah.
“Anak bos saya berderet E, Pendidikan Islam G. Seronok anak beranak, cerita gagal Pendidikan Islam. Bangga.
“Konsepnya asal pandai cop duit, macam mana pun tak apa. Belajar dapat E, G pun ok. Gagal subjek agama pun seronok. Aih, anak dengan bapak sama naik,” keluh Nur Adilah Abdul Nasir.
Melihatkan pelajar Melayu yang berkongsikan keputusan SPM teruk mereka di media sosial itu juga gagal dalam mata pelajaran Bahasa Melayu (BM) dan Pendidikan Islam, turut mengundang kecaman orang ramai.
“Apa ni? Tak belajar langsung ke? Sekurang-kurangnya BM tu bagilah lulus dik. Kau cakap bahasa apa?
“Lagi satu, Pendidikan Islam kasi lah lulus nampak sikit kau ada asas agama. Janganlah macam ni. Kasihan mak bapak sama,” kata Nur Amirah.
Hal sama juga disentuh oleh Fauzi Faiq yang menulis, “Sebebal-bebal aku, BM tu kalau (gred) D nampak sangat kau datang sekolah hanya suka-suka.”
Apapun, Fauzi secara sinis berkata, “Semoga murah rezeki kau dik. Mungkin keluarga banyak tanah atau ada syarikat sendiri.”
Tidak kurang juga yang sukar untuk menerima bagaimana sebagai pelajar Melayu yang tentunya beragama Islam boleh gagal untuk dua mata pelajaran yang berkaitan dengan diri dan pegangan agama mereka sendiri.
“Orang Melayu Islam gagal Bahasa Melayu dan gagal Pendidikan Islam? Can’t brain lah,” bidas Fadamir Saad.
Baca juga Anak kembar seiras pemimpin AMANAH dapat 9A+ SPM
Baca juga Gigih ubah suai Kelisa jadi Daihatsu, dah kena saman polis