Bangkai ikan ditemui di kawasan projek RM3.4 bilion ‘Sungai Nadi Kehidupan’

Bangkai ikan ditemui di kawasan projek RM3.4 bilion ‘Sungai Nadi Kehidupan’

Jabatan Alam Sekitar (JAS) diminta menyiasat pencemaran yang berlaku di sepanjang Sungai Gombak sehingga mengakibatkan kematian hidupan sungai khususnya ikan baru-baru ini.

Ahli Parlimen Serdang, Dr. Ong Kian Ming dalam satu kenyataan media mendedahkan penemuan bangkai ikan sungai oleh seorang rakannya, Jeffrey Lim ketika berkayuh berhampiran tebing Sungai Klang dekat Brickfields.

Nelayan sungai menjala ikan di Sungai GombakJeffrey adalah anggota ekspedisi kayak Dr Ong yang menyusuri Sungai Klang dan Sungai Gombak bagi melihat perkembangan projek Sungai Nadi Kehidupan (ROL).

ROL dilaksanakan bertujuan mengubah kawasan-kawasan tertentu di Kuala Lumpur yang menghadap ke Sungai Klang agar mempunyai nilai ekonomi dan komersial yang tinggi.

Projek ini membabitkan pembersihan sepanjang 110km Sungai Klang agar kualiti air dapat ditingkat kepada standard rekreasi, pengindahan sungai dan kemajuan tanah.

Dr Ong menambah, Jeffrey kemudiannya cuba mengesan punca kematian ikan tersebut dan membuat kesimpulan ianya berasal daripada arah hulu Sungai Gombak dekat Kampung Puah.

Kematian ikan sungai itu, jelas beliau mungkin berpunca daripada pencemaran sungai.

Keadaan ini, katanya amat merisaukan kerana ikan sungai di sepanjang Sungai Gombak dan Sungai Klang ditangkap, dijual dan menjadi makanan penduduk.

“Menjadi satu kebiasaan untuk kita melihat nelayan sungai menggunakan pancing dan jala bagi menangkap ikan di sepanjang Sungai Gombak dan Sungai Klang,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau mendesak JAS untuk menyiasat punca kematian ikan itu bagi memastikan sama ada masih wujud pencemaran serius di hulu Sungai Gombak sehingga meracuni ikan dan hidupan sungai.

“Jika tiada usaha untuk memantau tahap pencemaran Sungai Gombak dan Sungai Klang, anggaran RM3.4 bilion yang dibelanjakan untuk membersihkan sungai tersebut akan menjadi satu pembaziran,” katanya.

TAGS