Bangkai pesawat belum ditemui, senarai korban belum disahkan

Bangkai pesawat belum ditemui, senarai korban belum disahkan

Pihak berkuasa Indonesia masih belum menemui bangkai pesawat Lion Air yang terhempas di perairan Tanjung Karawang pagi ini.

Menurut Ketua Lapangan Terbang Wilayah 1 Soekarno Hatta, Bagus Sunjoyo, setakat 2 petang ini, pasukan mencari dan menyelamat terdiri daripada pasukan tentera, polis dan Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan Indonesia (Basarnas) masih gagal mengesan bangkai pesawat berkenaan yang terhempas di koordinat S 5 49.052 E 107 06.628, selepas berlepas 6.20 pagi tadi dari Lapangan Terbang Soekarno-Hatta.

“Pihak berkuasa turut menggunakan pasukan penyelam, selain itu nelayan juga turut membantu pihak berkuasa mengesan pesawat berkenaan,” katanya lapor Bernama.

Beliau berkata setakat ini beberapa serpihan dipercayai daripada pesawat itu telah ditemui, termasuk beberapa barangan peribadi milik penumpang pesawat berkenaan.

Pesawat jenis Boeing 737 MAX 8 itu sepatutnya tiba di Lapangan Terbang Depati Amir Pangkal Pinang pada jam 7.10 pagi waktu Indonesia bahagian barat.

Sementara itu Timbalan Duta Besar Malaysia di Indonesia, Zamshari Shaharan berkata pihak kedutaan masih belum mendapat pengesahan daripada pihak berkuasa Indonesia berkenaan senarai nama penumpang pesawat berkenaan.

“Kami belum mendapat pengesahan daripada kerajaan Indonesia sekiranya terdapat warga negara asing dalam pesawat itu,” katanya.

Beliau berkata pihak kedutaan juga sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dan agensi berkaitan bagi mendapatkan maklumat lengkap senarai penumpang pesawat terbabit.

Mayat pertama ditemui

Reuterss melaporkan mayat seorang penumpang berjaya ditemui berhampiran lokasi pesawat Lion Air JT610 terhempas di perairan Karawang, Jawa Barat, Indonesia.

Kompas TV melaporkan, mayat terbabit ditemui oleh pasukan Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan Indonesia (Basarnas), polis serta Tentera Nasional Indonesia (TNI).

“Berdasarkan pemantauan dan maklumat yang diterima, terdapat seorang mangsa ditemui,” kata Adi Wahadi yang bersama pasukan Polis Air Indonesia (POLAIR) ke lokasi.

Menurutnya, mayat sudah diambil dan dalam proses untuk dikenal pasti identiti mangsa.

Pada masa sama, mereka turut menemui pelbagai serpihan yang dipercayai daripada badan pesawat termasuk barangan peribadi milik mangsa seperti beg tangan.

Serpihan terbabit kemudiannya diperiksa di dalam kapal penyelamat yang dikerahkan dalam usaha pencarian.