Bangkit dari kerugian RM40 juta, Kohilal-Ummah-Abata muncul kembali untuk produk halal

Bangkit dari kerugian RM40 juta, Kohilal-Ummah-Abata muncul kembali untuk produk halal

Penyedia perkhidmatan makanan halal, Koperasi Al-Hilal Bhd (Kohilal) hari ini membuat kemunculan semula selepas koperasi itu pernah mengalami kerugian sembilan tahun lalu yang bernilai sehingga RM40 juta.

Mustaffa Salleh

Pengerusinya, Mustaffa Salleh berkata, Kohilal memilih untuk mengadakan kerjasama bersama Gerakan Pembela Ummah (Ummah) dan syarikat penyedia aplikasi, ABATA Commerce Sdn Bhd untuk mempromosi produk Muslimnya ke seluruh negara.

“Kami sekarang sedang dalam peringkat memulihkan semula dan menyeru ahli kami hampir 18,000 ahli supaya bangkit bersama kami, kita majukan semula Kohilal dan lebih penting memasarkan produk muslim ke seluruh negara.

“Untuk makluman, kami usaha untuk gilap balik, kami jual balik aset kami, dan sekarang kami mula bangunkan kilang dan produk kami.

“Diperingkat permulaan ini, dengan kerjasama bersama Ummah, kita akan fokus lebih lagi dan backup semula masalah yang dulu,” jelasnya.

Mustaffa berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kohilal, Abata, dan Ummah sempena Kempen Membeli Produk Muslim di Hotel Putra Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam pada itu, Timbalan Pengerusi Ummah, Zai Mustapa berkata, kerjasama bersama Abata mampu mempromosi secara meluas produk muslim yang dikeluarkan oleh Kohilal.

Beliau berkata, ia sekaligus membantu masyarakat pengeluar dan peniaga untuk meningkatkan perolehan perniagaan yang akhirnya akan dikembalikan kepada masyarakat Islam itu sendiri melalui zakat.

Katanya, permintaan makanan halal sememangnya semakin meningkat dan aplikasi Abata oleh Abata Commerce mampu mempromosi produk halal menembusi pasaran luar negara.

“Tujuan diadakan tandatangan persefahaman ini untuk melancarkan Kempen Produk Muslim supaya semua masyarakat Islam dalam negara membuat pilihan tepat menyokong produk muslim dan memasarkannya kepada seluruh masyarakat Islam.

“Apabila Malaysia yang majoritinya dikuasai masyarakat Islam, ia akan menyumbang kepada perniagaan sekitar 14,000 koperasi di dalam negara.

“Akhirnya, apabila perniagaan mereka berkembang, mereka akan sumbangkan semula dalam bentuk zakat kepada masyarakat Islam,”katanya.

Turut hadir, Pengarah Suruhanjaya Korperasi Malaysia (SKM) Wilayah, Amran Abdul Kadir; Pengerusi Ummah, Aminuddin Yahaya; dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ABATA, Mohd Izzat Ismail.

Dalam majlis sama, Izzat Ismail berkata, aplikasi yang dicipta setaraf dengan aplikasi Shoppee dan Lazada yang mampu membuat penghantaran ke seluruh negara.

Jelasnya, Abata menyediakan tiga platform penghantaran antaranya pengambilan sendiri (self pick-up), servis penghantaran percuma, dan penghantaran melalui despatch atau rider melalui pos laju.

“Dalam kerjasama ini, Abata menggunakan keupayaan teknologi kami untuk melaksanakan pembelian secara atas talian dan turut menyediakan platform penghantaran yang memudahkan pembeli.

“Aplikasi ini dijangka akan dilancarkan dalam masa terdekat dengan lebih 500 jenis produk,” tambahnya lagi.