Banglo RM6juta: Tok Mat anggap mainan ‘budak bodoh’ serang calon BN

Banglo RM6juta: Tok Mat anggap mainan  ‘budak bodoh’  serang calon BN

Datuk Seri Mohamad Hasan menganggap tuduhan beliau memiliki sebuah banglo rekabentuk Minangkabau bernilai RM6juta di Seremban sebagai cerita ‘budak bodoh’ yang hanya melemparkan serangan kerana beliau calon BN di PRK Rantau.

“Sila semak sama ada saya punya atau tidak. Semua orang kata itu rumah saya, kalau rumah saya, maka itu rumah saya, kalau bukan, itu bukan rumah saya.

“Saya malas nak layan isu ini, cerita budak bodoh yang main pondok-pondok,” katanya ketika ditemui media selepas meninjau proses undian awal di Dewan Angkasa Raya, Pangkalan Tentera Udara (TUDM) Sendayan hari ini.

Semalam, Streram yang juga timbalan pengerusi PKR cabang Rembau meminta penjelasan Mohamad berhubung dakwaan calon BN itu memiliki rumah banglo di Seremban 2, yang memiliki rekaan seni bina rumah Minangkabau.

“Saya bukan tuduh rumah Minangkabau itu milik Tok Mat. Tapi, saya melihat video klip dan gambar rumah itu diviralkan dalam WhatsApp yang mendakwa rumah Tok Mat.

“Jadi, saya rasa adalah lebih baik sekiranya Tok Mat tampil memberi penjelasan dan membetulkan keadaan ekoran tercetus tuduhan mengenai rumah itu,” kata Streram.

Ditanya sama ada beliau ingin mencabar Streram agar mengemukakan bukti terhadap dakwaan itu, Mohamad berkata pihak lawan sepatutnya berbuat demikian.

“Buat apa saya nak cabar mereka kemukakan bukti, biar mereka buang peluru mereka. Itu cara mereka nak memburuk nama saya dan mengaitkan saya.

“Daripada dulu lagi mereka buat begitu, takkan saya nak jadi budak-budak. Mereka main pasir, saya main abu, buat apa. Saya buat kerja saya dan tidak akan terganggu dan ini cara mereka dan buat konsentrasi saya terganggu,” katanya.