Bangsa Johor mesti jaga integriti

Bangsa Johor mesti jaga integriti

Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub menyeru supaya gagasan Bangsa Johor tidak dicemari dengan isu-isu urus tadbir seperti rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.

Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub menyeru supaya gagasan Bangsa Johor tidak dicemari dengan isu-isu urus tadbir seperti rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.

Menurutnya, gagasan tersebut mesti meletakkan prinsip keamanahan atau integriti sebagai teras utama urus tadbir dalam kerajaan negeri Johor.

“Istilah ‘Bangsa Johor’ begitu sinonim dengan rakyat negeri Johor yang bukan sekadar mahu berbangga tetapi mestilah mampu menjadi suri teladan terbaik khususnya daripada aspek penampilan akhlak peribadi hinggalah kepada amalan dan pelaksanaan urus tadbir.

“Sebagai anak kelahiran negeri Johor, pastinya saya mahu menjadi sebahagian daripada kumpulan yang menyumbang kepada pemikiran dan pelaksanaan gagasan Bangsa Johor yang besar ini,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Salahuddin menyifatkan gagasan 1Malaysia yang diterapkan dalam pentadbiran Najib Razak telah menjadi bahan ejekan masyarakat tempatan dan dunia luar ekoran runtuhnya nilai integriti dalam urus tadbir negara.

Akibatnya, jelas beliau, lahir pelbagai skandal berskala besar seperti skandal 1MDB, Felda dan Tabung Haji.

“Menambah buruk lagi reputasi negara apabila berlakunya isu-isu jenayah dan keselamatan negara yang diragui integriti siasatan serta pendakwaannya,” katanya.

Mengulas tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan enam individu dalam kes rasuah mencecah lebih RM15 juta baru-baru ini, beliau berkata, kes tersebut sebagai perkara serius yang boleh menjatuhkan dan memalukan imej sekaligus wibawa gagasan Bangsa Johor. 

“Gagasan Bangsa Johor semestinya melihat isu pentadbiran Khalid Nordin sebagai Menteri Besar Johor yang sedang menghadapi penyiasatan SPRM berkaitan kes rasuah hartanah baru-baru ini

“Penangkapan beberapa individu termasuk anak seorang Exco yang dikaitkan dengan skandal rasuah hartanah menimbulkan keraguan terhadap ketelusan dan tata kelola pentadbiran kerajaan gagasan Bangsa Johor,” tegasnya.  

Kesenjangan ekonomi di antara penduduk gagasan Bangsa Johor, katanya, masih tinggi dan keadaan ini akan berterusan jika pentadbiran kerajaan negeri tidak dibersihkan daripada unsur rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.

“Kekayaan gagasan Bangsa Johor seharusnya dikongsi secara adil dan saksama oleh semua penduduk. Selagi integriti pentadbiran gagasan Bangsa Johor tidak diutamakan, selagi itu pembinaan gagasan Bangsa Johor yang berpaksikan kemajuan negeri dan kemakmuran rakyat tidak akan tercapai,” tegasnya.

Sehubungan itu, Salahuddin mengajak rakyat negeri Johor yang bangga dengan gagasan Bangsa Johor supaya berani bersuara menegur pentadbiran kerajaan negeri itu yang ditegakkan melalui proses demokrasi berparlimen jika berlaku amalan rasuah, salah guna kuasa serta pelanggaran perlembagaan oleh mereka yang telah diberikan kepercayaan serta mandat oleh rakyat Bangsa Johor.

SPRM pada 25 Februari lalu turut membekukan 45 akaun bank bernilai RM15.5 juta serta merampas 21 kereta mewah, lima motosikal kuasa tinggi dan wang tunai RM500,000.

Kesemua mereka ditahan kerana disyaki terbabit dalam mendalangi kegiatan penukaran status rumah Bumiputera kepada bukan Bumiputera di Johor melibatkan beberapa pemaju negeri itu sejak tahun 2013.

Sumber dilapor memberitahu hampir 30 peratus kuota yang disediakan kepada pembeli Bumiputera disorok pemaju terbabit dengan cara mendaftarkan nama pekerja mereka yang berstatus Bumiputera.

TAGS