Malaysia Dateline

  • Berita
  • Negeri
  • Rencana
  • Kolumnis
  • Antarabangsa
  • Pencerahan
  • DatelineTV
  • Sumbangan
  • Hubungi Kami
Malaysia Dateline
Bangsa maju jaga persepsi rakyat

Bangsa maju jaga persepsi rakyat

Oleh DR. MUHAMMAD FAIZ NA'AMANJanuary 22, 2020 6:34 pm




Di UK sekarang ini sedang hangat berita mengenai pasangan Diraja Britain, Harry dan Meghan yang membuat pilihan untuk “memulangkan” gelaran HRH (His/ Her Royal Highness), gelaran tradisi untuk kerabat terdekat monarki Britain. Mereka juga rela hilang pembiayaan pihak kerajaan untuk menampung kos kehidupan mereka, malah akan membayar balik peruntukkan geran khas yang telah digunakan oleh pasangan tersebut untuk menaik-taraf rumah mereka di Windsor, UK.

Pelbagai spekulasi yang dimainkan media mengenai langkah kontroversi pasangan Diraja Britain tersebut yang mendapat restu Ratu Elizabeth II. Namun Harry dikatakan memilih jalan tersebut demi kehidupan yang lebih bebas bersama isterinya tanpa menjejaskan reputasi pihak istana Britain. Beliau tidak mahu apa yang menimpa mendiang ibunya, Puteri Diana, terjadi terhadap keluarganya.

Dari kisah keluarga Diraja Britain itu kita boleh menilai tahap integiti yang cukup sensitif serta dititik-beratkan dalam budaya feudal moden yang wujud di Britain pada hari ini. Walaupun ia mungkin sekadar untuk menjaga imej di mata masyarakat umum, namun sedikit-sebanyak ia dapat mengekalkan rasa hormat rata-rata rakyat Britain terhadap sistem dan institusi monarki negara itu.

Terdapat protokol serta etika yang wajar dituruti oleh mereka yang berjawatan dan bergelaran, sama ada dalam politik atau dalam istana di negara-negara maju seperti Britain ini tadi. Watak-watak yang menjadi perhatian rakyat tidak boleh sewenang-wenangnya melakukan perbuatan yang boleh menjatuhkan reputasi organisasi yang mereka wakili sungguhpun mereka tidak terlampau terikat dengan piawai moral yang ditetapkan oleh agama mereka.

Pendek kata, soal reputasi dan imej cukup dijaga oleh bangsa-bangsa maju ini terutama di era teknologi maklumat dan komunikasi di mana masyarakat cepat merujuk media sosial untuk sebarang berita, gosip, pendedahan serta komentar-komentar publik secara terbuka. Seseorang yang berjawatan “sensitif” tidak akan berani mendekati perkara-perkara yang dianggap tidak bermoral atau setaraf dengan jawatan yang sedang disandang.

Persoalannya adakah budaya serta sensitiviti begini wujud dalam nilai moral masyarakat Malaysia? Mungkin ada insan-insan di luar sana yang mempunyai prinsip serta pendirian yang tegas terhadap hal-hal integriti dan moral, namun adakah kelompok tersebut disanjung oleh masyarakat? Atau cuba dijatuhkan kerana ada pihak yang lebih selesa dengan kelaziman yang sudah lama wujud dalam berpolitik dan berorganisasi?

Hakikatnya agak jarang kita bertemu mana-mana pemimpin atau mereka yang berjawatan besar dalam negara ini yang cuba mengekalkan prinsip moral, keadilan dan integriti ketika berkuasa. Agak jarang persepsi rakyat atau pandangan masyarakat marhaen diambil kira ketika mereka yang berjawatan dan bergelaran itu mahu memanifestasikan kemewahan, keborosan serta keseronokan yang cuba disorok dari pengetahuan umum.

Oleh kerana itu jugalah kita jarang dengar perletakan jawatan secara sukarela dalam organisasi kerajaan, pengunduran dari posisi politik atau pemulangan gelaran Diraja tanpa paksaan di negara ini. Kerana ia masih bukan budaya orang kita. Di tahun 2020 ini kita masih belum bersedia menjadi bangsa maju seperti Jepun atau Korea Selatan yang ada mentaliti malu untuk gagal atau dilihat korup dan rendah moral.

Malah di negara komunis China pun, seramai 194, 200 anggota Parti Komunis China (CPC) yang didakwa melanggar peraturan parti dan undang-undang negara tersebut pada tahun 2019 dikenakan tindakan displin serta hukuman. Antara kesalahan yang menjadi dosa besar oleh pemerintah komunis di China ialah hedonisme iaitu kelakuan yang menjurus kepada keseronokan melampau tanpa batas moral atau agama seperti yang pernah terjadi di zaman akhir empayar Rom dahulu. Contohnya maksiat dan hiburan ekstrem.

Jika persepsi rakyat gagal diseimbangi dengan prinsip moral dan integriti yang tegas, maka tidak hairanlah masih ada orang kita yang rela mencium tangan pencuri dan menggelarkannya “Bossku” seperti kata YAB Perdana Menteri Malaysia Tun Dr. Mahathir yang turut memberi amaran bahawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) hari ini boleh jadi sepenggal jika persepsi rakyat tidak dijaga.

* Dr. Muhammad Faiz Na’aman adalah Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

 

malaysiadateline.com adalah portal berita percuma yang menyajikan naratif luhur untuk pembaca budiman.

Sumbangan anda adalah penting untuk kelangsungan portal ini. Sila klik butang ‘support us’ dan sumbangan anda adalah sangat dihargai.

 





widget-image
widget-image

Popular

Darurat untuk selamatkan kerajaan yang sudah jatuh?

Ketika berebut makanan, mereka minta kotak untuk alas tidur

Selepas tindakan Nazri, kini terserah kepada Agong untuk tukar PM, kata peguam

Negara lain juga darurat, tapi tak gantung fungsi Parlimen

Amalan demokrasi berparlimen tumbang apabila parlimen digantung, kata MPN

Terkini

Covid-19: Apa Muhyiddin dapat buat dengan kuasa mutlaknya, soal Mahathir

Menteri Pendidikan tiada kepimpinan, bimbang wujudnya ‘generasi ketinggalan’

Keazaman untuk tidak berubah (Bahagian 1)

Mahfuz desak kerajaan perjelas isu projek rundingan terus lebih RM100 juta

Rakyat kecam Muhyiddin ulang apa yang dibentang dalam Belanjawan 2021

Malaysia Dateline
Terima Kasih kerana mengunjungi kami.
SEARCH SOMETHING
© 2017 Malaysia Dateline. All rights reserved. Designed by Media Oren Production