Malaysia Dateline

Bangunan dalam pembinaan runtuh, 2 cedera seorang terperangkap

Tiga pekerja kontrak terlibat dalam kejadian runtuhan konkrit di sebuah bangunan dalam pembinaan berhampiran Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Putra, Terminal Gombak di sini, awal pagi ini.

Dua daripadanya cedera dihantar ke hospital manakala seorang lelaki warga Indonesia dipercayai masih terperangkap di bawah runtuhan itu.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan itu jam 1.13 pagi tadi.

Jurucakapnya memaklumkan, seramai 46 anggota dan pegawai kanan dari Balai Bomba Penyelamat (BBP) Wangsa Maju dan Gombak Selatan dikejarkan ke lokasi.

“Berlaku runtuhan dianggarkan berkeluasan 2,500 kaki persegi melibatkan tiga mangsa, dua daripadanya telah dihantar ke hospital sementara seorang daripadanya dipercayai masih tertimbus.

“Anggota menggunakan khidmat anjing pengesan (K9) bagi mengesan sekiranya masih terdapat mangsa yang tertimbus di bawah runtuhan,” katanya menerusi satu kenyataan media dipetik.

Katanya, kerja mengalihkan runtuhan konkrit serta operasi mencari dan menyelamat diteruskan.