Malaysia Dateline

Bangunan Dun Sarawak dijangka ditutup hujung tahun, kerja naik taraf

Bangunan lama Dewan Undangan Negeri (Dun) Sarawak di sini, dijangka ditutup kepada kegunaan orang ramai penghujung tahun ini, untuk memberi laluan kepada kerja-kerja menaik taraf bangunan berkenaan kepada sebuah pusat persembahan kesenian negeri yang baharu.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Negeri, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata ia kini berada di peringkat akhir perancangan.

“Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pun sudah bersetuju dengan pelan ubah suai terbabit yang dicadangkan pihak juruperunding projek.

Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah -Foto Bernama

“Juruperunding itu sudah pergi ke banyak tempat di seluruh dunia bagi menyediakan pelan ubah suai bangunan DUN lama itu termasuk Istana Budaya di Kuala Lumpur dan pusat kesenian yang ada di Singapura,” katanya kepada sidang media selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang Anugerah Festival Teater Malaysia Peringkat Negeri Sarawak 2019, di sini, malam ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Tan Sri Norliza Rofli.

Bangunan DUN tiga tingkat berkenaan dibina pada pada tahun 1973 dan digunakan secara rasmi untuk sidang DUN pada Ogos 1976, sebelum ia dipindahkan ke bangunan baharu pada 2009.

Abdul Karim berkata kerja-kerja ubah suai bangunan lama itu yang kini masih digunakan beberapa agensi berkaitan kerajaan sebagai pejabat rasmi, dijangka mengambil masa selama setahun setengah sehingga dua tahun.

Sementara itu, majlis anugerah malam ini menyaksikan kumpulan Persatuan Seni Persembahan Sifar yang membawa persembahan teater bertajuk “Lautan Bernyanyi” karya Putu Wijaya dinobatkan sebagai johan, mengalahkan 13 kumpulan teater lain.

Kumpulan terbabit menerima hadiah wang tunai RM3,000 dan akan mewakili Sarawak ke saringan akhir Festival Teater Malaysia Peringkat Kebangsaan tahun depan.

Naib johan pula dimenangi kumpulan Kelab Seni Lakon Bau dengan persembahan bertajuk “Dan Tiga Dara Terbang Ke Bulan” karya Aidli Mosbit, manakala tempat ketiga, kumpulan Pertubuhan Teater Sanggar Kreatif Kuching dengan persembahan bertajuk “Ngayau” karya Dahiri Saini.

Majlis malam ini turut menyaksikan Anugerah Pelakon Harapan Wanita dimenangi Nor Azura Morsidi, Pelakon Harapan Lelaki (Mahathir Nasir), Pelakon Pembantu Wanita Terbaik ( Rossazuliana Muda) dan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (Malek Hassan).

Selain itu Pelakon Wanita Terbaik dimenangi Nurnajwa Hadirah Saha, Pelakon Lelaki Terbaik (Jamshari Saili) Kumpulan Harapan (Grup Teater Ngongcong Junior), Sinografi Terbaik (Persatuan Seni Persembahan Sifar) dan Pengarah Terbaik (Felix Agustus).– BERNAMA