Bangunan Parlimen ditutup, penyerang ditembak mati

Bangunan Parlimen ditutup, penyerang ditembak mati

Seorang penyerang ditembak mati oleh pasukan polis di London selepas melakukan serangan di luar bangunan Parlimen Britain di Westminster malam tadi waktu Malaysia.

Lapor Reauters, sekurang-kurangnya 12 cedera di jambatan berhampiran manakala laporan AFP menyebut, penyerang menikam seorang pegawai polis di perkarangan bangunan tersebut.

Walau bagaimanapun, Perdana Menteri Britain, Theresa May yang sedang bersidang di bangunan Parlimen itu, dilaporkan selamat.

Beliau dilapor mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa kecemasan kerajaan selepas apa yang digambarkan polis sebagai ‘kejadian pengganas’ di luar bangunan Parlimen.

Jurucakap rasmi yang mengesahkan insiden itu berkata, bangunan Parlimen ditutup dan kesemua ahli Parlimen diarahkan terus berada dalam Dewan sehingga diberitahu kelak.

Wartawan Perbadanan Penyiaran Britain (BBC), menerusi Twitter melaporkan dua penyerang dipercayai berada dalam kenderaan dalam serangan berkenaan.

Wartawan Reuters di dalam bangunan itu berkata, dua individu dirawat oleh kakitangan paramedik di perkarangan Parlimen manakala stesen kereta api bawah tanah Westminster berdekatan lokasi itu juga ditutup atas arahan polis.

Sementara itu, Wisma Putra mengesahkan tiada rakyat Malaysia setakat ini dilaporkan cedera dan terjejas dalam insiden serangan tersebut.

TAGS