Sebuah bangunan pencakar langit yang sedang dibina di Bangkok, Thailand runtuh sehingga memerangkap berpuluh-puluh pekerja di bawah runtuhan tersebut.
Menurut laporan AFP, ia berpunca dari gempa bumi kuat yang menggegarkan Myanmar dan negara jirannya, Thailand.
Gempa bumi bermagnitud 7.7 itu melanda barat laut bandar Sagaing tengah hari semalam pada kedalaman cetek, kata Jabatan Kajian Geologi Amerika Syarikat.
Gegaran susulan bermagnitud 6.4 menggegarkan kawasan sama beberapa minit kemudian.
Di Bangkok, sebuah bangunan 30 tingkat yang sedang dibina runtuh, menyebabkan 43 pekerja terperangkap.
Bangunan untuk dijadikan pejabat kerajaan itu bertukar menjadi timbunan runtuhan dalam sekelip mata, demikian menurut rakaman yang dikongsi di media sosial.
“Apabila saya memeriksa lokasi bencana, saya mendengar mangsa menjerit meminta tolong.
“Kami menganggarkan beratus-ratus orang cedera tetapi kami belum mengesahkan angka korban dan kecederaan,” kata Timbalan Ketua Polis Daerah Bang Sue, Worapat Sukthai.