Apakah yang mampu dibuat oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan untuk membangunkan semula Gaza yang kini hancur berkecai selepas dibantai oleh Israel.
Tetapi, Cikgu Azmi yang memimpin sebuah badan bukan kerajaan bernama Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), ia tidak pernah menghalang beliau dari berusaha.
Kini Mapim di bawah pimpinan Cikgu Azmi berusaha mengumpulkan bantuan untuk membina khemah-khemah untuk rakyat Palestin sementara mereka membina semula rumah mereka.
Khemah-khemah ini sangat perlu untuk melindungi mereka dari kesejukan ekoran musim sejuk yang melanda Gaza sekarang.
“Sekurang-kurangnya khemah ini mampu memberi perlindungan sementara kepada mereka sebelum rumah untuk mereka disiapkan,” kata Cikgu Azmi dalam rayuan kepada orang ramai.
Cikgu Azmi sedar, beliau dan rakan-rakan NGO tidak mampu membina kembali rumah-rumah mangsa keganasan Israel ini, namun usaha perlu dibuat untuk memberikan perlindungan sementara.
Menyedari NGO dan sumbangan dana dari orang awam tidak mampu untuk membangunkan semula Gaza, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil inisiatif untuk membangunkan semula Gaza dengan Kerjasama kerajaan-kerajaan besar di dunia.
Menurut PM Anwar, kerajaan negeri Jepun telah bersetuju untuk bersama-sama membangunkan semula Gaza melalui East Asian Countries for Palestinian Development (CEAPAD).
Ekoran itu, Mapim menyambut baik usaha dan kesungguhan PM Anwar untuk melaksanakan misi sukar tetapi sangat perlu ini.
Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid atau lebih dikenali Cikgu Azmi itu berkata, inisiatif tersebut sebagai langkah strategik dan amat diperlukan Gaza dalam membina semula infrastruktur asas yang telah musnah akibat serangan berterusan oleh rejim Israel.
Katanya, keprihatinan Malaysia dalam membantu rakyat Palestin amat dihargai dan selari dengan usaha kemanusiaan yang selama ini diperjuangkannya.
“Sebagai sebuah badan yang aktif dalam misi bantuan kemanusiaan di Palestin, Mapim bersedia untuk bekerjasama dengan pihak kerajaan serta agensi-agensi berkaitan bagi memastikan pelaksanaan projek pembangunan ini dapat berjalan dengan lancar dan memberi manfaat kepada rakyat Gaza,” katanya kepada media.
Puluhan ribu rakyat Palestin bergerak di jalan-jalan utama menuju ke utara Gaza, semalam dengan perasaan gembira untuk kembali ke rumah selepas berbulan-bulan tinggal di tempat perlindungan sementara.
Sepanjang jalan di persisiran pantai Mediterranean di Gaza, sekumpulan besar orang, ada yang mendukung bayi atau membawa barang-barang di bahu mereka, berjalan ke utara dengan berjalan kaki.
Namun, hanya puing-puing runtuhan yang menyambut ketibaan mereka.