Malaysia Dateline

Bangunkan umat Islam Pulau Pinang melalui Jelajah Khaira Ummah 2030

Jelajah Khaira Ummah 2030 merupakan kaedah kerajaan negeri bagi menyampaikan perancangan bagaimana untuk membangunkan yang terbaik untuk umat Islam di Pulau Pinang.

Demikian dinyatakan oleh Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Ir Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman.

Jelasnya, Khaira Ummah 2030 yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri merupakan pembangunan jangka masa panjang umat Islam selama sepuluh tahun atau sedekad sehingga tahun 2030 yang akan datang.

“Pelaksanaan Khaira Ummah 2030 ini jua adalah selaras dengan visi Penang 2030 yang telah pun dimaklumkan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang sebelum ini.

” Dua agenda utama yang akan diberi tumpuan ialah usaha bagi mengimarahkan masjid sebagai sebuah pusat pembentukan umat yang terbaik atau pun Khaira Ummah.

” Disamping itu ia turut merencanakan usaha bagi mereformasikan pendidikan berkaitan dengan umat Islam melalui Kolej Islam Antarabangsa Pulau Pinang yang juga dikenali umum sebagai KITAB,” tambah beliau.

Tegas Zakiyuddin lagi, umat Islam boleh mengambil iktibar bagaimana kejayaan pentadbiran Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan yang telah terbukti berjaya merubah kembali bangunan muzium bersejarah Hagia Sophia kepada fungsi asalnya iaitu sebuah masjid.

Sejajar dengan itu ujar beliau, kejayaan yang telah terbukti tersebut diharapkan dapat memberi suntikan semangat kesedaran kepada semua golingan masyarakat dalam usaha untuk meningkatkan lagi agenda memartabatkan Islam serta umat Islam di Pulau Pinang.