Banjir: 20,000 mangsa di pusat pemindahan, ATM gerak 6,000 anggota

Banjir: 20,000 mangsa di pusat pemindahan, ATM gerak 6,000 anggota

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menggerakkan 6,000 anggotanya bagi membantu mangsa banjir di Johor, Pahang, Kelantan dan Sabah.

Ketika mengumumkan perkara itu, Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata aset dan anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) juga diletakkan dalam keadaan bersiap siaga bagi melakukan operasi membantu mangsa banjir.

Setakat 9 malam tadi, sejumlah 20,104 mangsa ditempatkan di 187 pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri terjejas banjir, yang berkurangan sedikit berbanding 20,354 orang petang semalam.

Johor dan Pahang mencatatkan bilangan mangsa yang ramai berbanding Kelantan, Selangor, Perak serta Sabah dan Sarawak. Kesemua pusat pemindahan di Negeri Sembilan dan Terengganu pula telah ditutup.

Di Johor, sebanyak 6,954 mangsa ditempatkan di 61 pusat pemindahan malam tadi berbanding 7,316 petang semalam.

Segamat mencatatkan mangsa paling ramai iaitu sebanyak 5,258 orang diikuti Tangkak (1,458), Muar (219) dan Kluang (19).

Selain itu, mayat dua lelaki ditemui di Segamat semalam setelah mereka masing-masing dihanyutkan arus deras pada Selasa dan Rabu.

Mayat Mohd Faiz Syafiq, 21, dijumpai pada 7.45 pagi semalam manakala mayat Tarmin Katimun, 58, ditemui pada 2.30 petang semalam.

Di Pahang, sebanyak 6,830 mangsa kini ditempatkan di 102 PPS berbanding 7,127 petang semalam.

Keadaan cuaca yang tidak mengizinkan turut memaksa helikopter yang membawa Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang dalam perjalanan melawat mangsa banjir di Lipis, berpatah balik.

Di Kelantan, jumlah mangsa di 11 PPS di jajahan Kuala Krai, Gua Musang, Pasir Puteh dan Tanah Merah meningkat sedikit kepada 343 orang malam tadi berbanding 303 orang petang semalam.

Musibah itu mengakibatkan kerosakan prasarana berjumlah lebih RM30 juta di negeri berkenaan sejak bulan lepas sehingga kini, kata Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.

Di Perak, sebanyak 496 mangsa kini ditempatkan di sembilan PPS malam tadi berbanding 445 petang semalam, dengan Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berjanji kerajaan negeri akan meneliti cadangan lebih praktikal bagi mengatasi masalah banjir.

Di Selangor, jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di tiga PPS di daerah Sabak Bernam ialah 352 orang malam tadi berbanding 337 orang petang semalam.

Mangsa banjir di Sarawak kekal 5,084 orang daripada 769 keluarga dari daerah Beluru, Niah dan Marudi di Miri setakat malam tadi.

Di Sabah pula, sebanyak 45 mangsa banjir daripada 10 keluarga berada di PPS Dewan Kampung Binsulung, daerah kecil Paitan.

TAGS