Malaysia Dateline

‘Banjir balak’: Fuziah persoal longgokan kayu di Telemong

Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh mempersoalkan longgokan batang kayu hanyut di Sungai Telemong dalam banjir lumpur pada 18 Disember lalu.

Beliau menegaskan longgokan batang kayu itu boleh dilihat dengan jelas begitu banyak di Kampung Sri Telemong, Karak.

“Beribu-ribu batang kayu hanyut sewaktu banjir. Persoalannya, bagaimana kayu-kayan ini boleh sampai ke sini? Dari mana ianya datang?” lapor Suara Keadilan hari ini.

Kelmarin, batang kayu hanyut memenuhi Kampung Sri Telemong, Karak selepas banjir surut.

Susulan itu, sebanyak 45 badan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti tempatan menggesa kerajaan mengadakan siasatan bebas serta mengambil tindakan segera terhadap pihak yang mungkin bertanggungjawab dalam kejadian bencana banjir lumpur bercampur batang kayu hanyut itu.

Penjelasan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang bahawa tiada aktiviti pembalakan, sebaliknya ia adalah kesan daripada fenomena kepala air pula dilihat terus dipertikai.

“Kepala air itu memang fenomena semula jadi,” kata Fuziah.

“Cuma longgokan kayu itu, dari mana pulak datangnya. Sungguh cantik dan kemas ‘kepala air’ memotong kayu balak ini.

“Apa jawapan JPNP? Satu siasatan khas wajib dimulakan,” tegasnya lagi.