Malaysia Dateline

Banjir besar di Terengganu: Ketua Pemuda AMANAH Nasional berpindah

Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Hasbie Muda memberitahu beliau terpaksa berpindah selepas rumahnya di Paka, Terengganu mula dinaiki air.

Menurutnya, rumah yang dihuni sejak tahun 2017 itu tidak pernah mengalami banjir sebelum ini memandangkan terletak di lokasi tinggi.

“Ini banjir yang paling teruk sebab taman perumahan ini adalah kawasan paling tinggi di Kampung Pinang Merah dan Kampung Nyiur di Paka.

“Pagi tadi masih nampak lagi lantai. Sempat saya bawa keluar kereta. Jadi, dalam masa beberapa jam, air sudah makin dekat dengan aras lantai rumah. Ada setengah kaki saja lagi (cecah lantai),” katanya menerusi TikTok beliau hari ini.

Sementara itu, Pemuda AMANAH Terengganu menerusi saluran rasminya di Facebook menasihatkan semua penduduk mengambil langkah berjaga-jaga walaupun hujan lebat sekejap-sekejap.

Banjir yang melanda Terengganu kali ini disifatkan paling buruk dengan banyak rumah penduduk ditenggelami air malah musnah dibadai arus kuat.