Banjir besar: Pimpinan kerajaan Pas Kelantan tersenyum riang dalam hujan salji

Banjir besar: Pimpinan kerajaan Pas Kelantan tersenyum riang dalam hujan salji

Ketua Pemuda AMANAH Kelantan, Hazmi Hassan menempelak pimpinan kerajaan Pas negeri yang difahamkan berada di luar negara ketika banjir semakin buruk.

“Hujan dan banjir di bulan november di Pantai Timur bukanlah satu rahsia alam. Ianya seperti acara tahunan untuk warga Pantai Timur.

“Namun, kami agak terkejut melihat pimpinan kerajaan Pas Kelantan bergambar sambil tersenyum riang berlatar belakang hujan salji seperti di Kelantan tidak ada apa-apa yang berlaku,” tegasnya ketika dihubungi Malaysia Dateline malam ini.

Beliau turut membidas Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob yang menyeru rakyat di negeri itu untuk melakukan solat hajat dan berdoa agar banjir besar tidak melanda.

“Berusaha tanpa doa itu sombong, berdoa tanpa usaha itu bohong,” tegas Hazmi.

Hazmi Hassan

Menurutnya, jumlah rakyat Kelantan yang terkesan bah dan dipindahkan ke pusat penempatan banjir terus meningkat.

Sehubungan itu, beliau mengucapkan penghargaan kepada seluruh pasukan penyelamat yang tidak henti berkhidmat kepada rakyat.

Dalam masa sama, tegasnya, lantikan-lantikan politik yang mempunyai jawatan dalam kerajaan perlu segera dan fokus kepada agenda membantu rakyat.

“Inilah masa untuk berkhidmat dan bukan lagi untuk bercakap-cakap politik,” ujarnya.

Untuk rekod, jumlah mangsa banjir di Kelantan terus meningkat kepada 4,386 orang membabitkan 1,342 keluarga sehingga 8 malam tadi berbanding 2,652 mangsa pada 4 petang tadi dengan jajahan Kuala Krai kembali dilanda banjir.

Aplikasi InfoBencanaJKM turut menunjukkan Pasir Mas terus mencatatkan peningkatan kepada 2,390 mangsa berbanding 1,149 mangsa petang tadi.

Mengulas lanjut, Hazmi juga menasihatkan agar kerajaan negeri tidak ‘mencuri’ kebaikan kerajaan.

“Kita bersetuju untuk bersama-sama memberi perkhidmatan kepada rakyat namun jika sampai bantuan kerajaan Persekutuan usah mengaku daripada kerajaan negeri dan menafikan segala bantuan kerajaan Persekutuan.

“Dan yang lebih teruk, ada yang menggunakan segala kemudahan dan bantuan kerajaan Persekutuan untuk mempengaruhi rakyat supaya membenci kerajaan,” katanya.

Justeru, beliau berharap ujian hujan dan banjir tidak dijadikan musim mengangkat diri sendiri.

“Semoga mereka yang terkesan banjir mendapat pembelaan daripada kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan,” tambah Hazmi lagi.

Sepasang pengantin di Kampung Temila, Pasir Puteh naik rakit batang pisang ketika meredah banjir.