Malaysia Dateline

Banjir di Baling: 11 kampung terjejas, 250 anggota turun padang untuk operasi menyelamat

Operasi cari dan menyelamat mangsa banjir ekoran kejadian kepala air di Kupang, Baling, Kedah telah berjaya menemui tiga mayat iaitu Nurul Anis Abu Hassan dan Salmah Mat Akib di bawah timbunan batang pokok serta remaja berusia 14 tahun Khairul Ikhwan Azman di bawah timbunan kayu. 

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Baling, Kapten Rasidah Kassim berkata, kira-kira 250 anggota bertungkus lumus dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa sejak hari kejadian hinggalah malam tadi. 

“Seramai 80 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), 68 orang dari Jabatan Bomba dan Penyelamat, 55 dari Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, 13 dari RELA, 20 dari Unit Amal serta 5 anggota dari Medical Rescue turut serta dalam operasi menyelamat mangsa banjir.

“Manakala kampung-kampung yang terjejas teruk adalah kampung Iboi, kampung Lata Chelak, kampung Bukit Iboi, kampung Masjid Iboi, kampung Bendang Padang, kampung Bendang Pechah, kampung Tok Saba, kampung Hangus, kampung Bukit Tinggi, kampung Sadik dan kampung Pisang. 

“Seramai 51 keluarga ditempatkan di pusat pemindahan SMK Jerai, 42 keluarga di Surau An-Nur, 186 di Masjid serta 1038 di SMK Agama Al-Khiriah dan air semakin surut, namun banyak kawasan dipenuhi dengan lumpur,” ujar beliau ketika dihubungi semalam.

Setakat jam 8 malam semalam, seramai 1,424 mangsa banjir daripada 93 keluarga ditempatkan di tiga pusat pemindahan sementara (PPS) yang beroperasi sekitar Kupang.

Tujuh rumah dilaporkan musnah akibat dihanyutkan arus deras manakala kira-kira 70 lagi rosak susulan bencara berkenaan.

Baca juga: Tubuh 3 ‘task force’ tapi kerajaan semakin gagal atasi inflasi

Baca juga: Berkat sabar, wanita dikurniakan kembar selepas 7 tahun mencuba, siap bagi kebenaran suami kahwin lain