Malaysia Dateline

Banjir di Kelantan, Johor, Sabah semakin baik, Pahang pulih sepenuhnya

Keadaan banjir di Kelantan, Johor dan Sabah bertambah baik apabila jumlah mangsa yang dipindahkan semakin berkurangan, manakala di Pahang pulih sepenuhnya dengan dua pusat pemindahan sementara terakhir di Temerloh, ditutup petang semalam.

KELANTAN masih mencatatkan jumlah mangsa paling ramai dengan 1,332 orang daripada 490 keluarga, namun jumlah itu menunjukkan pengurangan berbanding 2,029 orang membabitkan 715 keluarga, pada pukul 8 pagi semalam.

Aplikasi InfoBencana JKM menunjukkan seramai 1,172 mangsa daripada 453 keluarga masih ditempatkan di lima pusat pemindahan sementara di Pasir Mas, manakala terdapat 150 mangsa daripada 37 keluarga berada di dua pusat pemindahan di Jeli.

Laman sesawang ebanjir.kelantan.gov.my pula menunjukkan Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas masih melepasi paras bahaya pada bacaan 9.98 meter (bahaya 9 meter), sementara Sungai Golok di Kuala Jambu, Tumpat melepasi paras amaran iaitu 2.40 meter (amaran 2.15 meter).

Semua sungai utama lain di negeri ini sudah berada pada paras normal dan tiada sebarang jalan utama ditutup berikutan cuaca cerah petang ini.

Polis Kelantan mengesahkan, setakat ini seramai lima mangsa terkorban dalam dua siri gelombang banjir sejak awal bulan ini.

Di JOHOR, hanya daerah Segamat dan Batu Pahat masih terjejas banjir dengan 613 orang daripada 143 keluarga masih berada di 14 pusat pemindahan sementara petang ini, berbanding 810 orang daripada 196 keluarga, pagi semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar negeri Tan Chen Choon menerusi kenyataan berkata, banjir di Kluang pulih sepenuhnya selepas pusat pemindahan sementara di Sekolah Kebangsaan Sungai Linau, Simpang Renggam dekat Kluang, ditutup pada 3 petang semalam.

Beliau berkata daripada keseluruhan 613 orang di Segamat dan Batu Pahat, 576 orang daripada 136 keluarga daripadanya berada di 12 pusat pemindahan di Segamat, manakala 37 orang daripada tujuh keluarga berada di dua pusat pemindahan di Batu Pahat.

Katanya kesemua mangsa di Segamat melibatkan penduduk dari Jalan Kolam Air, Kampung Balai Badang, Kampung Batu Badak, Pogoh, Kampung Spang Loi, Kampung Tandong, Kampung Padang Kiambang, Kuala Paya, Kampung Sanglang, Kampung Kuing Patah, Kampung Bukit Tunggal serta Kampung Pogoh manakala mangsa di Batu Pahat melibatkan penduduk di Parit Sulong dan Kampung Peserai Lama, dekat Semerah.

Di SABAH, jumlah mangsa banjir berkurangan apabila tiga pusat pemindahan di Tenom ditutup petang tadi, sementara mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan Dewan Selagon melibatkan penduduk daripada beberapa kampung di Beaufort dan Membakut kekal 402 orang daripada 142 keluarga.

Beberapa jalan menghubungkan kampung terbabit turut terjejas dan tidak boleh dilalui oleh semua jenis kenderaan.

— BERNAMA