Malaysia Dateline

Banjir di Pendang, 10 buah kampung ditenggelami air

Ekoran hujan lebat melebihi dua jam semalam menyebabkan air sungai melimpah secara mendadak dan berlaku aliran arus yang deras sehingga menyebabkan beberapa buah rumah berdekatan kawasan Sungai Pendang serta beberapa buah kampung lagi dinaiki air.

Malah paras air yang meningkat menyebabkan pergerakan air masih laju sehinggakan Sungai Pendang terjejas.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Pendang, Lt. (PA) Yuslina Yusoff ketika dihubungi hari ini berkata, ekoran limpahan air tersebut sebanyak 10 buah kampung terjejas dan seramai 34 buah keluarga telah dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

“Seramai 137 mangsa telah dipindahkan ke PPS di Dewan Rakan Muda Tanah Merah, Pendang, Kedah melibatkan lima buah mukim iaitu mukim Ayer Puteh, mukim Guar Kepayang, mukim Padang Pusing, mukim Bukit Raya dan Padang Peliang.

“Setakat ini kampung-kampung yang terlibat dan terjejas adalah kampung Tok Sedau, kampung Tok Pauh, kampung Alor Ali, kampung Seberang Pendang, kampung Banggol Besi, kampung Alor Punti, kampung Tanjung Radin, kampung Tanah Merah Dalam, kampung Sukamari dan kampung Batu 16.

“Pemantauan dilakukan di kawasan banjir dan paras air Sungai Pendang dengan kerap dan usaha dilaksanakan dengan membantu memindahkan barangan mangsa serta mangsa terlibat ke PPS,” kata beliau.