Malaysia Dateline

Banjir di Yan: Media tidak peka dengan isu perubahan iklim?

Hampir kesemua media arus perdana telah merumuskan bahawa apa yang berlaku di Yan, Kedah disebabkan oleh ‘Tragedi Kepala Air’ dan ‘Bencana Geologi’.

Kejadian berkenaan telah menyebabkan banjir di sebanyak 18 kampung di daerah Kuala Muda dan Yan. Ucapan takziah juga dizahirkan kepada keluarga yang terlibat.

Punca antaranya disebabkan oleh kejadian tanah runtuh yang dikaitkan dengan hujan berterusan pada jangka panjang dan mungkin disebabkan gegaran bumi. Ini adalah hasil pemantaun pakar Geologi di Jabatan Mineral dan GeoSains.

Ada media yang mengaitkan sebagai bencana Geologi yang membabitkan bencana lumpur dan puing di kawasan kaki gunung. Apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri datang memberikan bantuan sebanyak RM75 juta ia dikira selesai dan dengan bantuan tersebut semua perkara akan dapat diuruskan.

Ismail telah melakukan langkah yang tepat dalam situasi baharu menjadi Perdana Menteri dan ketika rakyat menantikan pembentukan Kabinet di bawah Keluarga Malaysia.

Mereka yang berkuasa dan media merumuskan ini adalah isu semula jadi dan berlaku apabila datangnya musim hujan lebat luar biasa.

Tiada media atau mereka yang berkuasa mengaitkan isu ini dengan perubahan iklim, pemanasan bumi atau kegiatan manusia.

Tiada kajian lanjut atau pembukaan kertas siasatan yang dilakukan mengapa tanah di Gunung Jerai rapuh dan berlakunya kejadian banjir lumpur dan banjir kilat.

Adakah media arus perdana (terutamanya media Melayu) lebih cenderung mengikut telunjuk kerajaan daripada menganggap isu bencana alam mempunyai kaitan dengan perubahan iklim.

Oleh itu media-media ini lebih cenderung untuk tidak bersikap kritikal dalam mengerakkan kewartawanan kritis?

Media-media ini mengambil jalan mudah dengan tidak membuka fikiran rakyat untuk bersikap kritikal dan lebih rela ia menjadi isu samaran di media sosial.

Namun Institut Geologi Malaysia (IGM) menyarankan satu kajian bencana geologi secara menyeluruh, bebas dan dianggotai pelbagai bidang kepakaran diterajui oleh ahli geologi dapat dilakukan terhadap Gunung Jerai dan kawasan sekitarnya.

Presiden IGM, Abd Rasid Jaapar berkata, pihaknya berpendapat kajian potensi bahaya, kerapuhan dan risiko bencana berkaitan geologi perlu dilaksanakan terhadap semua kawasan produk pelancongan semula jadi termasuk geopark dan geotapak di seluruh negara.

“Kajian juga disyorkan bersifat ‘transdisciplinary’ dalam memahami kesan perubahan iklim dan mengurangkan risiko bencana geologi di masa hadapan.

Tidak keterlauan jika dikatakan faktor pemanasan global dan perubahan iklim juga dapat dikaitkan dengan campur tangan keterlaluan manusia yang mengubah struktur alam di mana turut membawa bersamanya jangkaan cuaca yang tidak menentu untuk tahun-tahun akan datang.

Dalam hubungan ini Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Sahabat Alam Malaysia (SAM) menyifatkan tragedi banjir di sekitar Gunung Jerai di Yan, Kedah merupakan kesan daripada aktiviti pembersihan hutan.

Dalam satu kenyataan bersama, Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader dan Presiden SAM, Meenakshi Raman menempelak kenyataan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor yang menyangkal dakwaan bahawa banjir tersebut bukanlah disebabkan oleh aktiviti pembalakan.

“Ia mungkin bukan pembalakan tetapi tentunya pembersihan hutan dan penebangan pokok. Banjir air dengan lumpur yang dilihat dalam video kejadian menunjukkan dengan jelas aktiviti pembersihan hutan,” katanya.

Dalam pada itu CAP dan SAM juga mengingatkan bahawa Gunung Jerai adalah kawasan sensitif terhadap alam sekitar yang mesti dilindungi dan tidak dimusnahkan.

“Sebilangan besar kelodak akan dibawa turun dari lereng yang telah dilemahkan oleh penebangan hutan dan peningkatan aktiviti tersebut akan merosakkan lagi kawasan itu,” katanya.

Laporan terbaru Panel Antara Kerajaan mengenai perubahan iklim menunjukkan bahawa hujan yang lebih kerap dan kuat akan berlaku kerana pemanasan global.

Walaupun kerajaan memang mempunyai polisi mengenai perubahan iklim tetapi ia tidak dilihat sebagai sesuatu yang mendesak dan utama bagi negara.

Kebanyakan isu malapetaka seperti banjir kilat, banjir lumpur dan banjir besar atau bencana alam sekitar dilihat sebagai faktor alam semula jadi.

Media juga tidak banyak membantu menyedarkan tentang kepentingan perubahan iklim.

Adakah ini juga kerana Malaysia tidak tergolong ke dalam senarai 40 negara yang dijemput oleh Amerika Syarikat ke Sidang Kemuncak Pemimpin berkenaan Perubahan Iklim yang berlangsung pada 22 hingga 23 April lepas menyebabkan media kita tidak mengambil serius isu bencana alam dan menjurus pemberitaan mereka kepada faktor alam semujadi atau fenomena yang berlaku secara bermusim?

Sedangkan negara-negara lain di dunia sedang membuat persiapan dan mendidik rakyat ke arah pembangunan dan ekonomi mesra alam dan mendidik rakyat dengan pengetahuan pemanasan bumi dan perubahan iklim.

Banyak juga projek dan pembangunan mapan dan alternatif dikemukakan di negara-negara yang peka ini supaya penduduknya bersedia ke arah isu pemanasan bumi yang serius ini.

Siapa yang kita hendak dipersalahkan jika rakyat tidak diberikan kepekaan dan pengetahuan mengenai bagaimana cara praktis dalam menangani isu perubahan iklim dan pemanasan bumi?

——————

Kolumnis adalah pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran, Universiti Selangor.