Malaysia Dateline

Banjir: Dua daerah di Terengganu kembali dinaiki air

Hujan lebat berterusan sejak awal pagi tadi di beberapa kawasan Hulu Terengganu dan Dungun menyebabkan dua daerah itu kembali dilanda banjir.

Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sebanyak empat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka petang semalam yang menempatkan 149 mangsa daripada 39 keluarga.

Tiga PPS di Hulu Terengganu ialah PPS di Kampung Sekayu yang menempatkan 45 orang daripada 10 keluarga, Balai raya Kampung Pelandan (22 orang daripada tujuh keluarga) dan PPS Kampung Pengkalan Ajal (50 orang daripada 15 keluarga) manakala satu PPS di Dungun pula ialah di Surau Besol Lama yang menempatkan 32 orang daripada tujuh keluarga.

Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melalui portal sama pula melaporkan Sungai Nerus di Kampung Langkap, Setiu telah melepasi paras bahaya apabila merekodkan bacaan setinggi 21.02 meter (m) berbanding paras bahaya 21.00 m.

Beberapa sungai utama lain juga kekal melepasi paras amaran setakat ini iaitu Sungai Besut di Jambatan Keruak merekodkan bacaan setinggi 34.48 m berbanding paras amaran 34 m, Sungai Chalok di Jambatan Chalok di daerah Setiu kini setinggi 7.89 m (paras amaran 7.70 m) dan Sungai Telemong di Kuala Ping, Hulu Terengganu setinggi 19.68 m (paras amaran 18.70 m).

— BERNAMA