Banjir Kedah: Anak OKU lembam cuba bantu ibu, dua beranak hanyut dibawa arus deras

Oleh MALAYSIADATELINE

Seorang pemuda orang kurang upaya (OKU) dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus deras bersama ibunya ketika cuba meredah banjir di Kampung Tanjung Kiri, dekat Kuala Nerang, Padang Terap, Kedah, pagi tadi.

Sehubungan dengan itu, operasi mencari dan menyelamat segera ditingkatkan bagi mengesan dua beranak berkenaan iaitu Salmah Mat Zain, 46, yang merupakan ibu tunggal dan anak lelakinya, Muhammad Rosman Rohaidi, 19.

Penduduk kampung difahamkan sudah berteriak memanggil dua beranak itu supaya tidak meredah banjir berikutan arus sungai terlalu deras namun mereka berdua tetap meneruskan perjalanan.

Salah seorang saksi kejadian iaitu Mohd Amir Mohd Sougelail, 28, berkata bahawa panggilan orang kampung mulanya dijawab wanita terbabit beberapa kali sebelum keadaan menjadi senyap, lapor Berita Harian.

“Saya nampak si ibu sempat berpaut pada pokok getah tetapi anaknya berpatah balik untuk mendapatkan ibunya sebelum kedua-duanya hanyut.

“Air deras (berlaku) kerana kampung ini berdekatan Sungai Padang Terap yang melimpah akibat hujan lebat malam tadi,” jelas pemuda terbabit memetik laporan Berita Harian.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Nerang, Penolong Penguasa Bomba Aminuddin Mad Khozali memaklumkan, operasi mencari dan menyelamat (SAR) masih dilakukan sehingga jam 11.45 pagi ini.

Menurut Aminuddun, operasi SAR melibatkan 18 anggota dari BBP Kuala Nerang itu turut dibantu BBP Pokok Sena bersama agensi lain termasuk polis serta Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan penduduk kampung.

Sebelum kejadian berlaku, dua beranak itu dipercayai pulang daripada membeli nasi lemak dan menunggang motosikal menggunakan laluan sejauh lebih tiga kilometer (km) kerana jalan utama ke rumah dinaiki air.

Mereka kemudian meletakkan motosikal ditunggang di rumah seorang penduduk sebelum meredah air di laluan bertar yang ditenggelami air sehingga paras dada untuk pulang ke rumah.

Hal ini berikutan laluan yang digunakan oleh dua beranak berkenaan dikatakan lebih dekat jaraknya iaitu kira-kira satu kilometer (km) daripada rumah mereka duduki.

Muhammad Rosman yang juga OKU lembam itu hanya tinggal berdua bersama ibunya di Kampung Tanjung Kanan, Kuala Nerang, Kedah.

Baca juga: Serbu kedai runcit demi biskut & ais krim, gelagat Tunku Azizah cuit hati rakyat