Banjir kilat: DBKL sedia beri kerjasama dengan SPRM

Banjir kilat: DBKL sedia beri kerjasama dengan SPRM

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedia bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan wujud unsur rasuah dalam projek pembangunan di ibu negara, sehingga menyebabkan kejadian banjir kilat baru-baru ini.

 Pengarah Eksekutif Perancangan DBKL Datuk Mohd Najib Mohd berkata pihaknya tiada masalah dalam memberi kerjasama dengan pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan.

 “Kami juga akan semak di pihak kami (DBKL), kebenarannya saya pun kurang pasti sebab perkara itu melibatkan banyak pihak seperti kontraktor projek binaan termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS),” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang acara ‘KL Tower International Towerthon Challenge 2016’ di sini hari ini.

 Beliau mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengenai kerajaan akan menyiasat kemungkinan wujud unsur rasuah dalam projek pembangunan di ibu negara sehingga menyebabkan banjir kilat.

 Sementara itu, Mohd Najib berkata sehingga kini, DBKL masih mengumpul maklumat berkaitan infrastruktur dan tindakan efisien yang boleh dilakukan bagi menangani isu banjir kilat di ibu negara.

 “Untuk tindakan jangka masa pendek, kami akan mempertingkatkan komunikasi antara bilik gerakan dengan kakitangan di lapangan, sekurang-kurangnya kami berada dalam keadaan bersiap sedia apabila berdepan dengan masalah ini,” katanya.

 Beliau berkata terdapat lima lokasi yang dikenal pasti sebagai kerap banjir iaitu di Jalan Duta, Bangsar, Bank Negara, Bukit Tunku dan Cheras.

 Katanya, esok DBKL akan menyerahkan laporan berhubung isu banjir kilat kepada Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan berbincang mengenai tindakan yang perlu diambil bagi mencari jalan penyelesaiannya. — BERNAMA

TAGS