Banjir kilat: IRDA didesak serah projek naik taraf Sungai Segget kepada MBJB

Banjir kilat: IRDA didesak serah projek naik taraf Sungai Segget kepada MBJB

Parti Amanah Negara (Amanah) mendesak Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (Irda) agar tidak lagi terlibat dalam menguruskan projek Sungai Sengget ekoran kejadian banjir kilat di Johor Bahru pada 2 Januari lalu.

Sebaliknya Irda perlu menyerahkan tugas tersebut kepada Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) yang mempunyai kepakaran tenaga teknikal.

“Irda perlu kembali kepada fungsi teras utama sebagaimana dinyatakan dibawah Seksyen 5 Akta Irda 2007 iaitu merancang, mempromosi dan pemudahcara kepada projek Iskandar Malaysia,” kata Timbalan Presiden Amanah Salahduddin Ayub dalam sidang media bersama pimpinan Amanah Johor semalam.

Irda dipengerusikan bersama oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Menteri Besar Johor, Khaled Nordin.

Hujan lebat selama kira-kira dua jam pada 2 Januari lalu mengakibatkan lima kawasan di Johor Baharu dilanda banjir kilat hingga menyebabkan aliran trafik terganggu.

Antara kawasan itu ialah Jalan Wong Ah Fook, Bakar Batu, Jalan Tebrau berhampiran Wisma Daiman, Pasar Raya Kipmart Tampoi dan Kampung Permatang, Kempas.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed turut menyuarakan pandangan sama bahawa peranan Irda dalam menguruskan projek Sungai Sengget yang memakan kos sebanyak RM200 juta itu perlu dinilai semula.

Ia berikutan Irda memberi jaminan bahawa projek berkenaan akan mampu mengelakkan kejadian banjir di negeri itu pada 2015.

Namun rakyat Johor mempersoal pihak kontraktor lantikan Irda yang gagal menyiapkan projek mengikut masa yang ditetapkan.

Justeru Amanah mencadangkan Irda mengembalikan pelaksanaan sesuatu projek insfarstruktur dalam Iskandar Malaysia (IM) kepada lima Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di bawah IM yang mempunyai kepakaran teknikal.

“Bahkan dalam pelaksanaan sesuatu projek, pada kebiasaannya PBT akan bekerjasama dengan agensi teknikal kerajaan yang lain seperti Jabatan Kerja Raya, Jabatan Perparitan dan Saliran, Jabatan Alam Sekitar dan lain-lain.

“Dengan cara ini sesuatu projek yang dijalankan walaupun dilaksanakan oleh kontraktor swasta tetapi dari segi pemantauan pelaksanaannya dapat dilakukan secara lebih sistematik dan berkesan,” kata Salahuddin.

TAGS