Malaysia Dateline

Banjir kilat: Projek tebatan banjir dan penyelenggaraan parit dalam perancangan

Demi kesejahteraan warga kota Kuala Lumpur khususnya, Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming mengambil inisiatif membangkitkan beberapa perkara berkaitan bandar raya itu kepada Datuk Bandar dalam satu pertemuan semalam.

Menurut Kor Ming, antara perkara dibangkitkan kepada Datuk Bandar, Datuk Seri Mahadi Che Ngah adalah masalah banjir kilat yang melanda ibu negara apabila berlaku hujan lebat.

Katanya, atas permintaan beliau, pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengenal pasti sebanyak 25 kawasan ‘hot spot’ banjir kilat di sekitar ibu negara dan pada masa sama mencari jalan penyelesaian bagi mengatasi masalah berkenaan.

“Saya menegaskan projek tebatan banjir dan kerja-kerja penyelenggaraan sistem perparitan perlu diberi perhatian khusus dan keutamaan.

“Tindakan segera juga wajib diambil khususnya sempena musim tengkujuh yang kini sedang melanda negara kita,” katanya menerusi satu hantaran yang dimuat naik di Facebook beliau hari ini.

Dalam pada itu, Kor Ming berkata, beliau yakin DBKL akan mengambil langkah segera dalam mencari penyelesaian terbaik untuk meningkatkan lagi nama ibu kota Kuala Lumpur menjelang Tahun Baharu 2023.