Banjir kilat, rasuah projek pembangunan Kuala Lumpur disiasat

Banjir kilat, rasuah projek pembangunan Kuala Lumpur disiasat

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Kerajaan akan menyiasat kemungkinan wujud unsur rasuah dalam pembangunan projek-projek di ibu negara, khususnya yang membabitkan projek mega, sehingga menyebabkan kejadian banjir kilat baru-baru ini, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata pihak berkuasa yang berwajib akan diminta menjalankan siasatan itu dan menyediakan laporan lengkap mengenainya bagi membolehkan tindakan susulan diambil.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet mengenai Bencana Alam berkata pihak yang saling menuding jari dalam permasalahan itu juga akan diminta duduk bersama bagi mencari jalan terbaik untuk menangani isu berkenaan.

“Yang terbaik ialah menyelesaikan masalah rakyat ini dalam jangka segera dan dalam jangka panjang supaya ia tidak berlaku lagi. Tidak sepatutnya banjir kilat berlaku di Kuala Lumpur kerana sistem dan infrastrukturnya cukup baik.

“Mungkin ada permasalahan dari segi pengaliran air hujan berlebihan. Saya akan membantu kementerian dan jabatan berkenaan untuk selesaikan masalah ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Keluarga 2016 Kementerian Dalam Negeri dan Pejabat Timbalan Perdana Menteri di Markas Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA) di Cheras, hari ini.

Turut hadir Timbalan-timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed dan Masir Kujat serta Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri menyerahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk membuat penyiasatan susulan tindakan kartunis politik tempatan, Zulkifli Anwar Ulhaque atau Zunar yang mengkritik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melalui karyanya pada satu pameran di Geneva, Switzerland.

“Dari segi pengendalian, saya serahkan kepada pihak polis. Itu pendekatan saya, atau beberapa pihak lain dari segi pelaksanaan penyiasatan dan tindakan undang-undang,” katanya yang berpendapat isu itu turut membabitkan aspek moral, akhlak, dan integriti individu berkenaan.

“Mengkritik tidak jadi masalah, tetapi menghina adalah satu perkara lain. Saya terima kritikan terutama yang membina sebagai sesuatu yang sihat tetapi menghina adalah sangat berbeza.

“Saya fikir dalam hal ini saya minta supaya Allah buka hati mereka supaya segera bertaubat dan segera untuk menggunakan pendekatan lain kalaupun mahu meraikan perbezaan pendapat,” katanya.

TAGS