Banjir: MP Parit Buntar serah aduan rakyat kepada pejabat daerah

Banjir: MP Parit Buntar serah aduan rakyat kepada pejabat daerah

Ahli Parlimen Parit Buntar Dr Mujahid Yusuf Rawa menyerahkan laporan hasil aduan rakyat dan tinjauannya berkaitan banjir pada 3 September lalu kepada Pejabat Daerah Kerian untuk diambil tindakan segera.

Beliau meminta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Perak memberi penjelasan kepada rakyat mengapa projek tebatan banjir Daerah Kerian gagal mengatasi banjir walaupun Kerajaan Persekutuan telah membelanjakan RM350 juta (menurut kenyatan MB Perak sendiri).

“JPS perlu memberi penjelasan bertanggungjawab mengapa sistem pam air tidak berkesan bagi mengatasi agar air melimpah dibuang ke Sungai Kerian. Begitu juga penyelengaraan sungai dan saliran. Siapakah pegawai yang bertugas pada hari kejadian?” soalnya.

Beliau juga meminta hutan paya api-api yang masih berbaki di Bagan Tiang diwartakan dengan kadar segera bagi menghalang pencerobohan industri akukultur yang menyebabkan zon penampan tsunami dan air pasang terhakis.

Di samping itu, Majlis Daerah Kerian (MDK) yang bertanggungjawab kepada penyelengaraan parit di pusat bandar dan perumahan awam perlu mendedahkan jadual pembersihan parit dan longkang di kawasannya bagi menilai keberkesanan penyelengaraan parit.

{loadposition myposition}

Selain itu beliau menuntut pampasan segera kepada mangsa banjir diberikan dengan satu kadar tetap iaitu RM1,000 kepada perumahan dan RM3,000 kepada premis perniagaan.

“Saya menanti respons segera dari laporan yang saya serahkan hari ini kepada Pejabat Daerah Kerian demi mengekalkan akauntibilti dan ketelusan untuk saya memaklumkan balik kepada rakyat aduan mereka,” katanya.

Mujahid melawat mangsa banjir

Keadaan hujan lebat luar biasa berulang-ulang dan fenomena air laut pasang besar menyebabkan hampir keseluruhan kawasan Mukim Parit Buntar ditenggelami banjir kilat lewat petang Ahad lalu.

Banjir kilat itu menyebabkan sekurang-kurangnya 800 rumah penduduk di Taman Kerian Tambahan, Taman Setia Jaya, Taman Kerian, Taman Seri Tenggara, Taman Damai, Taman Abdul Raof, Taman Seri Semarak, Taman Setia Wangsa dan beberapa kampung ditenggelami air bah setinggi 0.1 meter hingga 0.9 meter.

Banjir itu dianggap paling buruk sejak 10 tahun yang lalu dan bagi sesetengah penduduk yang belum pernah rumah mereka dimasuki air menganggap ia terburuk sepanjang sejarah mereka mendiami rumah mereka sejak 20-30 tahun yang lalu.