Malaysia Dateline

Banjir: Negara ini sudah macam tiada menteri, tiada PM

“Macam tiada Menteri, tiada Perdana Menteri, tiada kerajaan!,” kata Lim Guan Eng menerusi facebook beliau ketika melihat cara Kerajaan Persekutuan  menghadapi masalah banjir sekarang.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Bagan dari DAP itu merayu kepada Kerajaan Persekutuan untuk meningkatkan prestasi dalam menangani bencana banjir dan membantu mangsa banjir.

Katanya, ini kerana prestasi kerajaan dalam menangani bencana ketika ini dilihat amat lemah dan layu.

“Ketika ini lebih 41,000 mangsa banjir dilaporkan dan kemungkinan situasi banjir akan bertambah buruk di beberapa tempat.

“Saya merayu kepada Kerajaan Persekutuan untuk tingkatkan prestasi mereka yang amat lemah dan layu dalam menangani bencana banjir dan membantu mangsa-mangsa.

Dalam pada itu, di sidang media di Selangor, Lim Guan Eng mengumumkan penubuhan Unit Tindak Pasca Banjir DAP Selangor.

Ia bertujuan untuk membolehkan semua pemimpin dan jentera DAP membantu mangsa banjir di negeri itu.

“Kerja pembersihan oleh pasukan daripada DAP Jelutong, Pulau Pinang dengan ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer; Ahli Dewan Negeri (ADUN) Batu Lanchang, Ong Ah Teong dan ADUN Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin turut bersama menguruskan bekalan bantuan hasil daripada derma orang ramai di Selangor.

“Orang awam boleh menderma kepada akaun bank DAP Selangor Public Bank 3169752925.

“Sekarang tumpuan juga turut diberikan kepada bencana banjir di Pahang yang juga teruk,” jelasnya.

Ahli Parlimen Bagan itu berkata, pihaknya turut menghargai mereka yang menderma 6,000 bakul makanan yang kini sudah mula diagihkan kepada mangsa banjir.