Malaysia Dateline

Banjir patut sedarkan SPRM, DBKL

Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) mengambil tindakan dalam tempoh 24 jam berhubung enam kolam takungan banjir yang didakwa diluluskan untuk tujuan pembangunan di Kuala Lumpur.

Menurutnya, Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2019 mendedahkan sepanjang tempoh 2015 hingga 2020, Datuk Bandar meluluskan 943 kebenaran perancangan walaupun tidak selaras dengan Pelan Bandar Raya Kuala Lumpur (PBRKL) 2020.

“Laporan berkenaan turut menyebut perubahan zon guna tanah dan intensiti pembangunan memberi kesan kepada alam sekitar dan pertambahan kepadatan menyebabkan berlaku pengurangan tanah lapang awam, kejadian banjir kilat di Kuala Lumpur dan kesesakan lalu lintas.

“Kemungkinan pendedahan paling mengejutkan dalam laporan ini ialah enam kolam takungan banjir telah diluluskan untuk tujuan pembangunan,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2019 juga menyebut Kuala Lumpur mengalami banjir kilat sebanyak 48 kali sepanjang tempoh 2015 hingga 2020.

“Ini juga merupakan pertambahan bilangan banjir kilat daripada lima kali pada 2017 kepada 13 kali dalam tahun 2020,” kata laporan itu lagi.

Sehubungan itu, Hannah berkata tukar guna tanah bukan sahaja menjejaskan kapasiti kolam takungan banjir bahkan merencatkan keseluruhan sistem operasi banjir Tebatan Banjir Kuala Lumpur seterusnya mendedahkan ibu negara kepada risiko berlakunya bencana banjir yang lebih kerap.

Beliau turut menegaskan DBKL perlu menghentikan dan melihat semula bagaimana kelulusan pembangunan di Kuala Lumpur dilakukan selain berhempas pulas membersihkan sampah akibat banjir di ibu kota.

“Saya telah membangkitkan semasa persidangan Parlimen baru-baru ini mengenai kurangnya maklum balas daripada SPRM berkenaan laporan dan pendedahan ini.

“Kemusnahan yang disebabkan oleh banjir minggu lepas sepatutnya menyedarkan SPRM dan DBKL untuk mengambil tindakan segera,” tegasnya lagi.