Malaysia Dateline

Banjir: Penduduk tanggung kerugian rumah terjejas, rosak

Baru sembilan hari menyewa rumah di Kampung Belimbing Dalam, namun seorang ibu tunggal redha dan menganggap banjir yang berlaku di kawasan tempat tinggalnya itu satu ujian hidup biarpun terpaksa menanggung kerugian akibat kerosakan perabot dan perkakas elektrik.

Nor Dilla Jamaluddin, 33, antara mangsa banjir yang ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Belimbing Dalam, Durian Tunggal bersama seorang anak berusia sembilan tahun dan seorang rakan sewanya yang dibenarkan pulang selepas air mulai surut di beberapa kawasan di sekitarnya.

Beliau yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah kilang di Batu Berendam berkata paras air setinggi satu meter di kediaman pada kejadian Isnin lepas menyebabkan barangan seperti sofa, almari, katil, mesin basuh, pakaian dan lain-lain ditenggelami air berikutan tidak sempat diselamatkan.

“Ketika itu kami hanya sempat membawa keluar televisyen dan peti ais untuk ditumpangkan di rumah jiran di kawasan lebih tinggi, namun barangan lain termasuk makanan baharu dibeli terpaksa dibiarkan selepas dinasihatkan supaya meninggalkan rumah kerana dikhuatiri berbahaya.

“Anggaran kerugian lebih RM3,000 dan semua peralatan itu tidak dapat digunakan lagi, namun sebagai manusia kita kena redha dengan musibah banjir ini kerana ia tidak dijangka dan dielakkan,” katanya ketika ditemui Bernama di rumahnya di sini, hari ini.

Zainuddin Baba, 59, berkata, kejadian banjir itu sering berlaku di kawasan rumahnya juga di Kampung Belimbing Dalam menyebabkan dia lali dengan keadaan itu dan mereka sekeluarga perlu bersedia dan lebih awas sekiranya hujan lebat daripada biasa.

Katanya, banjir di kawasan rumahnya itu terjadi setiap tiga tahun sekali sejak tahun 2006 namun pada 2016 pernah mereka diuji dengan dua kali kejadian sama dalam setahun selepas rumah mereka dinaiki air.

“Disebabkan keadaan ini kami tidak membeli banyak peralatan rumah seperti almari kerana pernah dahulu beberapa perabot yang dibeli rosak teruk dan tidak dapat digunakan kerana ditenggelami air termasuk pakaian-pakaian yang terpaksa dibuang.

“Banyak barang seperti pinggan mangkuk sentiasa diletakkan dalam bakul sejak kejadian banjir lepas, manakala lain-lain peralatan rumah yang mampu diselamatkan ditumpang sementara di madrasah yang tidak terjejas berhampiran rumah,” katanya.

Sarimah Dol, 53, juga tinggal di kampung sama berkata beliau berharap Kerajaan Negeri dan pihak berkaitan dapat mengatasi masalah yang sering dihadapi mereka seperti membaiki sistem saluran dan perparitan di kawasan itu selain menyegerakan projek tebatan banjir.

“Sudah menjadi kebiasaan kepada kami di kampung ini untuk bersiap sedia dipindahkan setiap kali hujan lebat yang melanda negeri ini… masalah ini telah berlanjutan sejak sekian lama dan masih tiada kesudahan.

“Kami berharap agar masalah yang membelenggu penduduk di sini sejak beberapa tahun lepas dapat diatasi secepat mungkin,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Daerah Alor Gajah,  Shamsul Ambia berkata, penduduk di kawasan Durian Tunggal telah mula membersihkan kediaman sejak semalam selepas cuaca semakin baik.

“Tiada kerosakan harta awam dan bangunan kerajaan yang dilaporkan namun terdapat beberapa jalan yang rosak akibat banjir di kawasan itu,” katanya.

— BERNAMA