Malaysia Dateline

Banjir: Sadong Jaya dan Selangau terjejas

Enam buah kampung di Sadong Jaya dan Asajaya di Bahagian Kota Samarahan dinaiki banjir berikutan hujan lebat sejak semalam.

Kampung yang terjejas ialah Kampung Senangeh, Ulu Sadong, Rangawan, Kampung Semera Ulu, Sampun Jugu dan Tambirat.

Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Asajaya telah membuat pemantauan beberapa kawasan yang dikenal pasti berisiko.

Sekretariat Jabatan Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak Mejar Ismail Mahedin berkata, sepanjang pemantauan di sekitar kawasan yang berisiko banjir mendapati paras air naik dan telah memasuki beberapa rumah berikutan hujan yang lebat sejak semalam.

Bagaimanapun katanya, keadaan paras air di kawasan yang dipantau sudah mulai surut dengan perlahan.

Dalam pada itu katanya, tiada pusat pemindahan sementara dibuka setakat ini.

Sementara itu, di Daerah Selangau, Sibu sebuah sekolah dan rumah panjang turut mengalami kenaikan paras air.

APM turut melakukan tinjauan ke kawasan berisiko dinaiki air selepas hujan lebat.

Lokasi pertama Rh. Jampi terjejas di kawasan rumah panjang namun belum menjejaskan sturktur rumah.

Lokasi kedua Sk. Iban Union hanya dinaiki air di kawasan padang sekolah yang berhampiran dengan kuarters Guru dan Asrama Murid namun kelas tersebut tidak terjejas kerana berada di atas bukit.

Mejar (PA) Ismail Mahedin berkata, tinjauan ke sekolah tersebut mengambil masa 30 minit dari tempat letak kereta menggunakan perjalanan kaki disebabkan jalan tidak dapat dilalui oleh kenderaan berikut jalan utama dinaiki air.

Menurutnya, sekolah tersebut tidak beroperasi berikutan adalah pada cuti hujung tahun.

“Sekolah dan Rumah Panjang serta Penduduk di kawasan Sungai Arip tidak terjejas setakat ini dan keadaan di lokasi masih dalam keadaan terkawal,” katanya dalam satu kenyataan.