‘Banjir serius bila Mercedez masuk air’ – Kelantan ‘trending’, netizen sindir tenggelam satu negeri pun ‘bulan’ tetap menang

Oleh ARIF ATAN

Ketika bah di Kelantan makin meruncing dengan ribuan mangsa dipindahkan selain jangkaan beberapa siri gelombang banjir akan berlaku, kenyataan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengundang sindiran orang ramai.

Mohd Amar yang juga Naib Presiden Pas semalam berkata, banjir di Rantau Panjang dan Pasir Mas sebagai belum di tahap serius sebaliknya adalah bah biasa akibat hujan dan akan surut apabila hujan berhenti.

“Banjir yang betul-betul serius apabila air datang dari hulu yang dipanggil hujan hulu,” dipetik Sinar Harian.

Sehubungan itu, orang ramai menerusi media sosial dilihat menyindir reaksi pemimpin kerajaan negeri berkenaan termasuk mengaitkan sokongan majoriti rakyat Kelantan yang tegar mengundi Pas walaupun ‘penat’ mengharung banjir setiap tahun.

“Banjir serius bila Mercedez masuk air.

“Tenggelam satu Kelantan pun ‘bulan’ (Pas) tetap menang.

“YB kesayange rakyat Kelate.

“Tak apa lah. Apa nak susah-susah. Rakyat tak kisah pun. Bila banjir bantuan tiba,” demikian antara sindiran netizen.

Malah, ramai juga menyarankan agar Kelantan sebagai antara tiga negeri diterajui Perikatan Nasional (PN) selain Kedah dan Terengganu mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN).

Hal ini memandangkan, Pas di Kelantan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu mencipta rekod apabila berjaya memenangi kesemua 14 kerusi Parlimen termasuk merampas tiga kerusi Parlimen milik Barisan Nasional (BN) iaitu Parlimen Gua Musang, Ketereh dan Machang.

“Banjir Kelantan best. Cepatlah buat PRN masa ni. Alah bisa tegal biasa. Mana tahu musim banjir boleh tamat serta-merta. Takbirrr!

“Berdoa aje dah cukup. Kalau hanyut, tempatnya syurga. Zaman sekarang syurga neraka, balik hari bagi orang PN,” lagi perli warganet.

Baca juga Konon pakai iPad tapi bertimbun juga fail – Sindiran pemimpin Pas akhirnya ‘makan’ diri