Banjir Sungai Golok surut perlahan, bantuan terus ditingkatkan

Banjir Sungai Golok surut perlahan, bantuan terus ditingkatkan

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Kawasan yang dilanda banjir akibat limpahan Sungai Golok surut secara amat perlahan.

Tinjauan petang semalam menunjukkan pasukan bantuan masih bertungkus lumus menyampaikan makanan dan barangan dapur kepada mangsa yang tidak berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Ketua kumpulan bantuan dari Parti Amanah Negara (AMANAH) Dr Shahjihan Din berkata, semalam beliau memasuki beberapa kampung di Dun Bukit Tuku.

Keadaan banjir di jalan masuk ke Kampung Serungga, Rantau Panjang.

“Saya bersama Pengerusi AMANAH Dun Bukit Tuku, Tuan Haji Abdul Aziz mendapati penduduk amat perlukan bantuan.

“Kini telah masuk minggu kedua kampung-kampung ini ditenggelami air dan hampir semua mereka yang menjalankan kerja pertanian atau pertukangan tidak dapat keluar bekerja,” katanya.

Paras air katanya memang telah surut kerana minggu lalu kawasan itu hanya boleh dimasuki menggunakan bot.

“Hari ini kami boleh menggunakan kenderaan pacuan empat roda walaupun secara amat berhati-hati kerana bimbang terjerumus memasuki kawasan air dalam,” katanya.

Menurut portal info banjir Jabatan Kebajikan Masyarakat, mangsa yang berada di PPS sehingga petang semalam berjumlah 585 orang yang ditempatkan di empat PPS di Rantau Panjang, Pasir Mas dan Tumpat.

Peguam Mohd Ridzuan mengagihkan nasi air kepada penduduk kampung.

Walaupun sejumlah besar mangsa telah kembali ke rumah masing-masing, masih banyak kampung-kampung yang sebenarnya belum surut sepenuhnya.

Sementara itu Pusat Bantuan Operasi Banjir (Poba) Pakatan Harapan Rantau Panjang sehingga kini masih meneruskan gerakan membahagi-bahagikan nasi air yang dikenali sebagai ‘nasi air viral’.

Menurut pengarah pusat operasi Poba itu, Mohd Ridzuan Muhamad program itu telah berjalan hampir dua minggu.

“Alhamdulillah, kita bermula pada hari kedua banjir dan nasi air viral ini begitu popular dalam kalangan mangsa banjir dan sentiasa ditunggu-tunggu setiap hari.

“Sehingga ini kami hanya mampu menyediakan sebanyak 2,000 mangkuk sehari untuk dibahagi-bahagikan ke kampung-kampung secara bergilir,” katanya.

0.0
OVERALL SCORE
Have no any user vote
CATEGORIES