Banjir surut perlahan, petugas tambahan perlu dikerah

Banjir surut perlahan, petugas tambahan perlu dikerah

Keadaan banjir di Pulau Pinang semakin surut dengan bahagian pulau pulih sepenuhnya dan kebanyakan kawasan Seberang Perai juga semakin baik.

Bagaimanapun operasi pemulihan selepas banjir yang melibatkan beribu-ribu rumah tenggelam memerlukan bantuan besar-besaran.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Hasanuddin Yunus berkata operasi ini memerlukan tenaga yang ramai khususnya dari kalangan pemuda .

Hasanuddin Yunus

Semua kawasan-kawasan AMANAH seluruh negara diminta memastikan membuat persiapan bagi menghantar skuad peduli masing-masing bagi menyertai gerak kerja ini.

“Semua urusan bantuan dan pasukan pembantu diminta melaporkan diri bagi membolehkan kita mengagihkan-agihkan pasukan ke kawasan-kawasan yang memerlukan sokongan, ” katanya yang di temui di pusat operasi banjir AMANAH peringkat negeri di dewan JKK Pajak Song Kepala Batas petang semalam.

Beliau yang berterima kasih kepada AMANAH negeri-negeri yang sudah tiba menghantar tenaga dan bantuan berharap membuat perancangan untuk menyusun bentuk gerak kerja dengan lebih baik.

“Untuk operasi berikutnya selain membawa makanan apa yang diperlukan adalah peralatan membersih rumah dan kawasan.

“Kalau ada bantuan berbentuk peralatan rumah seperti tikar, selimut dan bantal amatlah dialu-alukan,” katanya.

Sementara itu pengerusi Biro Kebajikan Kemasyarakatan dan Bencana Alam Awan, Mariam Abdul Rashid berkata petugas wanita juga amat diperlukan.

“Sebaik kembali ke rumah masing-masing mangsa banjir amat memerlukan bantuan mengemas rumah, membersih kawasan dan membuat persiapan untuk memasak.

“Dalam situasi mereka yang tertekan, amat perlu mereka dibantu bagi meringankan beban dan menstabilkan emosi mereka,” katanya.

Kepada para petugas AMANAH yang ingin berkhidmat di bahagian Seberang Prai katanya mereka bolehlah melaporkan diri di dua pusat operasi banjir AMANAH (POBA).

“Satu terletak di Pajak Song dan satu lagi di pusat khidmat Adun Permatang Pasir di kampung Petani” katanya.

Mariam (depan) ketika di pusat pemindahan banjir di Kampung Chegar

9.0
OVERALL SCORE
: 9.0
Have no any user vote
CATEGORIES
TAGS