Malaysia Dateline

‘Banjir termenung’: 30 penduduk di Segamat masih berada di PPS

Sebanyak 30 mangsa banjir daripada tujuh keluarga di Segamat masih berada di sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) setakat 8 pagi ini berikutan rumah masing-masing masih digenangi air.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar negeri Tan Chen Choon menerusi kenyataan berkata kesemua mereka merupakan penduduk Kampung Batu Badak.

Katanya cuaca cerah di sekitar Segamat, namun kesemua mereka belum boleh pulang kerana kediaman masing-masing masih digenangi “banjir termenung”.

Dalam pada itu, beberapa kawasan di daerah Segamat semakin pulih dengan jumlah mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) terus berkurangan setakat pukul 8.00 malam ini apabila satu daripada dua PPS ditutup.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar negeri Tan Chen Choon berkata PPS yang ditutup adalah di Dewan Kampung Tandong kira-kira pukul 8.00 malam.

Beliau berkata dengan penutupan PPS berkenaan, mangsa banjir yang masih berada di PPS Balai Raya Kampung Batu Badak kini berjumlah 30 orang daripada tujuh keluarga , berbanding 88 orang dari 20 keluarga di PPS berkenaan petang tadi.

“Setakat ini keadaan cuaca kelihatan baik di sekitar Segamat dan pemantauan terhadap banjir dilakukan dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan di sini.